Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Karyawan harap menteri baru tuntaskan isu royalti

Ketika menteri yang bertanggungjawab bagi sektor perdagangan dalam negeri bertukar ganti, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) berkata, penantian mereka untuk melihat isu royalti masih berpanjangan.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, berkata penantian dan harapan agar isu berkenaan diselesaikan sebenarnya sudah berlanjutan selama lebih 20 dekad.

Justeru, katanya, Karyawan menaruh harapan yang tinggi agar menteri terbaru, Armizan Mohd Ali, dapat membantu menyelesaikan isu lapuk yang terus menghimpit anak seni negara ini.

“Kami berharap menteri baru akan memberi tumpuan penuh kepada usaha menyelesaikan masalah royalti artis dan komposer yang telah kami harungi lebih dua dekad.

“Hal itu belum nampak sebarang penyelesaian walaupun pelbagai usaha dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Armizan mengisi jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang kosong ekoran kematian penyandang terdahulu, Salahuddin Ayub.

Armizan merupakan ahli parlimen Papar yang sebelum ini diberi amanah sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Pengumuman rombakan kabinet itu dibuat Anwar pada 12 Dis lalu.

Menurut Freddie, Karyawan yakin dengan kewibawaan dimiliki Armizan, menteri itu boleh membuat keputusan yang tepat sekali gus menyelesaikan isu berkenaan.

Tambahnya, kemelut berpanjangan itu mungkin boleh diselesaikan apabila badan kutipan royalti persembahan awam yang tunggal diwujudkan semula.

“Ini bukan saja memudahkan proses bayaran bagi pengguna muzik bahkan menjimatkan kos tinggi yang dikenakan oleh kelima-lima badan yang beroperasi dalam industri apabila operasi mereka disatukan.

“Ia juga akan menguntungkan semua pihak terutamanya apabila mereka akan menikmati royalti yang lebih tinggi berbanding apa yang ada sekarang,” katanya.

Anggap pandangan sempit

Isu royalti merupakan antara polemik terbesar dialami penggiat seni muzik dan menghimpit industri berkenaan tanpa penyelesaian yang efisien setakat ini.

Royalti merupakan penghasilan ekonomi utama bagi golongan komposer, pelaku dan juga pengeluar muzik.

Sebelum ini wujud pertikaian tidak berkesudahan dan rayuan agar ia diselesaikan muncul setiap kali hadirnya menteri baru.

Kerajaan pada 2016 mewujudkan satu badan tunggal sebagai pengurus royalti, iaitu Music Rights Malaysia (MRM) bagi mengelolakan kutipan wang berkenaan selepas ia berlarutan selama 15 tahun.

MRM diperbadankan oleh badan pelesenan sebagai syarikat usaha sama bukan berasaskan keuntungan untuk mengeluarkan lesen muzik secara kolektif berkuat kuasa 1 Jan 2017 selepas menerima pengisytiharan daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Freddie Fernandez

Namun, MRM tidak dapat berfungsi sebagai badan pelesenan muzik kolektif secara berkesan akibat cabaran yang tidak dapat diatasi terutama dalam mendapatkan kata sepakat antara badan pelesenan mengenai hal operasi.

Sehubungan itu, tiga badan pelesenan muzik - Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Bhd, Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd dan Recording Performers Malaysia (RPM) Bhd - kembali melaksanakan tanggungjawab secara berasingan.

Freddie berkata Karyawan faham cadangan membentuk hanya satu badan kutipan royati itu mungkin akan mengakibatkan rasa tidak puas hati segelintir pihak.

Katanya ini disebabkan anggapan mereka boleh mengutip lebih banyak royalti sekiranya dibenarkan beroperasi secara berasingan.

Menurut Freddie, Karyawan yakin pandangan tersebut adalah sempit kerana pihaknya yakin lama-kelamaan jumlah royalti yang dikutip oleh badan tunggal itu akan jauh lebih menguntungkan.

”Karyawan berharap menteri baru akan tegas memastikan kehendak semua pihak, termasuk artis, komposer dan pengguna muzik, bukan sekadar pandangan syarikat-syarikat besar diambil kira dalam membuat keputusan.

"Kami melihat cadangan penubuhan badan tunggal ini adalah satu-satunya jalan penyelesaian kepada kemelut royalti yang telah membelenggu begitu lama,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS