Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sebagai ibu, penyanyi Ziana Zain mengakui dirinya turut terkesan dengan tragedi pembunuhan kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Justeru, kata Ziana, dia berharap urusan semua pihak untuk kes terbabit yang kini memasuki hari kelapan dipermudahkan.

“Kes yang berlaku membuatkan kita tertanya-tanya apakah motif pembunuh?

“Jadi, saya doakan yang baik-baik buat arwah dan keluarga,” ujarnya.

Tambah Ziana, 55, pemergian arwah mungkin menjadi asbab buat kedua orang tuanya.

Katanya, ibu bapa Zayn mungkin mendapat ganjaran di akhirat kerana kematian anak kecil.

“Satu rezeki apabila anak seperti Zayn pergi dulu sebelum ibu bapanya.

“Semoga Allah berikan ibu dan bapanya syurga, insya-Allah,” katanya.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di anak sungai berdekatan takungan air, iaitu 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Petaling Jaya kira-kira jam 10 malam pada 6 Disember lalu.

Kematian kanak-kanak itu pada awal diklasifikasi sebagai mati mengejut, tetapi kemudian disiasat sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Ziana berkata demikian pada sidang media Ziana Zain Konsert 2024 di Menara Kuala Lumpur, semalam.

Ziana Zain Konsert 2024 bakal dipentaskan di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 25 Julai tahun depan.

Bercakap mengenai konsert berkenaan, penyanyi Madah Berhelah itu berkata dia bersyukur dan terharu kerana sekali lagi diberikan peluang untuk menghiburkan peminat.

Menurutnya, dia akan menghiburkan peminat dengan lagu-lagu yang menjadi kesukaan mereka.

“Perasaan bercampur baur. Terharu, sebak, gembira, bersyukur, semua ada. Tak terkata-kata.

“Walaupun konsert ini diadakan tahun depan, hati saya sudah berbunga-bunga.

“Saya tak sabar nak buat persembahan, menyaksikan peminat sama-sama menyanyikan lagu-lagu saya.

“Ini adalah hadiah untuk mereka yang sentiasa mendoakan karier seni saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS