Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Biarpun sudah melakar sejarah di luar negara, pengarah filem Jin Ong tetap memberi perhatian kepada garis panduan dan akta yang ada dengan membuat tapisan kendiri terhadap kandungan karyanya, Abang Adik, agar adegan seksual dipaparkan dengan harmoni.

Kata Ong, dia berbuat demikian atas dasar menghormati pendirian dan sensitiviti masyarakat tempatan serta bagi mengelak kontroversi yang tidak sepatutnya berlaku.

“Pada peringkat awal memang saya bimbang juga jika Abang Adik diharamkan tayangannya di negara ini kerana ada adegan seksual untuk versi tontonan di luar negara.

“Disebabkan saya menghormati syarat tapisan filem negara kita, jadi saya potong sedikit adegan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Ong, keputusan tersebut diyakini tidak langsung akan menjejaskan jalan penceritaan yang disampaikan melalui filem sulung arahannya itu.

Jin Ong

Sebagai pengarah yang memulakan perjalanannya sebagai penerbit, Ong berkata, dia sedia maklum dengan ‘kehendak’ seseuah agensi sebelum meluluskan mana-mana karya untuk diterbitkan.

“Disebabkan sudah terbitkan banyak projek, jadi saya tahu yang mana do’s (dibenarkan) and don’t (tidak dibenarkan) untuk LPF (Lembaga Penapisan Filem).

"Jadi, saya mahu mengikuti syarat tapisan mereka.

“Sewaktu menghasilkan skrip dan juga suntingan, saya juga tahu apa yang boleh dipotong agar tak merosakkan jalan cerita dan struktur filem.

“Namun, adegan yang dipotong itu sedikit saja. Dan saya lega kerana babak lain yang memaparkan karakter transgender tidak dipotong LPF,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem berkenaan di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya kelmarin.

Menang beberapa anugerah

Abang Adik yang mengetengahkan isu penduduk tanpa kewarganegaraan mencatat sejarah apabila berjaya mengumpul RM2.22 juta (NTD15 juta) selepas tiga hari tayangan di Taiwan. Ia sekali gus dianggap kutipan tertinggi untuk filem Malaysia di negara itu setakat ini.

Filem itu berkisahkan kasih sayang adik beradik anak yatim piatu apabila mereka diuji selepas berlaku tragedi.

Abang yang juga OKU bisu dan pekak cuba mengadaptasi kehidupan mereka yang susah manakala Adi, begelumang dengan pelbagai ‘kerjaya’ dek berdepan tempoh yang sukar.

Karya yang dijadual menjengah pawagam tanah air mulai 14 Dis ini menampilkan gandingan dua pelakon hebat iaitu Wu Kang-ren dari Taiwan dan Jack Tan (Malaysia).

Sebelum ini, naskhah hasil usahasama Malaysia dan Singapura itu diiktiraf beberapa festival filem antarabangsa termasuk mencipta sejarah sebagai filem Asia Tenggara pertama menggondol tiga kategori utama di Festival Filem Asia Timur ke-25 di Udine, Itali pada April lalu.

Karya itu turut memenangi kategori Pelakon Utama Lelaki Terbaik (Kang-ren) di Anugerah Golden Horse ke-60 di Taipei.

Mac lalu Abang Adik mula menarik apabila mendominasi enam kategori di Festival Filem Antarabangsa Fribourg di Switzerland, termasuk dalam kategori hadiah utama, dan kategori hadiah juri khas.

Filem itu memenangi Anugerah Juri Ekumenikal dan Anugerah Penonton.

Fokus rasa kasih sayang

Berkongsi pengalaman sebagai pengarah baru, Ong berkata, dia sering cuba menghasilkan naskhah berkisahkan realiti kehidupan yang sering menghimpit penduduk negara ini.

Katanya, dia sengaja memilih judul menggunakan bahasa Melayu kerana mahu filem tersebut melambangkan Malaysia walaupun ada ketikanya ia ditayangkan di luar negara.

“Saya sering hasilkan filem berkisahkan tempat saya membesar iaitu Malaysia dengan fokus pada hubungan sesama manusia khususnya kasih sayang.

“Bagaimana penduduknya bergelut dengan kesusahan hidup dan kasih sayanglah yang mampu buatkan kita bertahan melalui tempoh sukar,” katanya.

Diminta mengulas mengapa dia mengetengahkan kisah penduduk tanpa kerakyatan, Ong berkata, dia menyedari isu itu agak membimbangkan selepas membaca berita yang dipaparkan di media massa.

Justeru, katanya, dia menukar rancangan asal untuk menghasilkan kisah berdasarkan isu yang dirasakan lebih dekat dengan masyarakat tempatan.

“Asalnya saya bercadang untuk mengketengahkan isu kad pengenalan merah, tapi sewaktu perintah kawalan pergerakan dulu, kerajaan ada menyumbangkan bantuan namun ini menjadi masalah buat mereka yang tiada kad pengenalan.

“Jadi saya rasa sedih dengan nasib mereka, maka terhasillah filem ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS