Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jangan normalisasi budaya zina dalam karya
Diterbitkan:  Dec 12, 2023 7:01 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Timbalan Pengarah Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Ahmad Sanusi Azmi berpesan kepada penggiat seni tempatan agar tidak menormalisasikan budaya berzina dalam berkarya.

Kata Ahmad Sanusi, adalah menjadi satu kebimbangan apabila ada unsur perbuatan terkutuk yang dilarang dalam Islam tetapi dijadikan lakonan bagi sesebuah drama yang menjadi tontonan masyarakat.

“Jangan semata-mata kerana ingin melariskan produk kita, elemen keji dimasukkan hingga ia menjadi normal dalam kalangan masyarakat. Jauhi zina.

“Lebih menyedihkan, lakonan sebegini melibatkan warga Muslim sendiri sedangkan Allah secara jelas mengutuk perlakuan ini.

“Kempen menjauhi zina ini sangat tegas dalam al-Quran. Allah memerintahkan kita menjauhinya,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Sebelum ini tular di media sosial babak memaparkan seorang pelakon lelaki meminta isterinya pulang ke rumah kerana mendakwa dirinya sibuk bekerja.

Penonton kemudian tiba-tiba dikejutkan dengan kemunculan seorang wanita dari bawah meja.

Pelakon wanita itu pula melontarkan dialog yang menggambarkan maksud sudah berlaku sesuatu di antara mereka.

Ahmad Sanusi turut mempertikaikan mengapa sesebuah karya perlu mempromosikan perbuatan terkutuk yang sekali gus menjadi medium mempromosi dan menormalisasi perlakuan mungkar.

“Bukan sekadar dikeji oleh Allah, kempen menjauhi zina ini diperkasa melalui bimbingan Rasulullah.

“Rasulullah mendidik sahabat supaya menjauhi segala perlakuan yang boleh membawa kepada zina,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS