Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pesan Ramli buat artis baru: Jangan cari salah, elak gaduh

Jangan cari salah atau elak sengaja cetuskan pergaduhan - itu pegangan anggota kumpulan rock legenda Sweet Charity yang kini usianya dalam industri melangkaui lima dekad.

Vokalisnya, Ramli Sarip, berkata petua itu juga sering dikongsikan buat rujukan rakan lain terutama dalam kalangan pelapis supaya karier mereka dapat bertahan selama mungkin.

“Kami cuba menghargai apa yang dikurniakan, apa yang dianugerahkan untuk dikongsi. Bukan saja dalam muzik atau persembahan, tapi juga perjuangan untuk dikongsi sama.

“Jadi, saya selalu beritahu pada kumpulan, artis, mahupun penyanyi baru supaya jangan selalu ada perbalahan yang tak seharusnya kerana kehidupan ini satu pinjaman harus selalu bersyukur diberi kesempatan ini.

“Perkara itu selalu saya ingatkan pada budak-budak (anggota band) sejak awal masuk industri dan tidur di Wisma Belia dulu malah umur juga sudah meningkat, ada anak cucu, alhamdulillah mereka faham,” katanya.

Bukan setakat itu, Ramli turut bersyukur Sweet Charity masih bersatu membuat persembahan kerana disiplin diamalkan.

“Malah sampai sekarang, masih berpeluang beraksi di pentas, dapat makanan yang OK, bayaran pun berpatutan sebab kami tak minta benda pelik-pelik.

“Mudah-mudahan kami sihat, dapat berikan yang terbaik untuk peminat, juga industri. Lima dekad perjalanan Sweet Charity semoga jadi penggalak buat band tanahair, terutamanya pelapis," katanya.

Ramli berkata demikian pada sidang media pengumuman konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweetcharity di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dianjurkan oleh Malaysia Shipowner’s Association, konsert yang berdurasi hampir tiga jam itu akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 26 Jan depan.

Selain Ramli, turut menganggotai band yang digelar Deep Purple Singapura itu ialah Rosli Mohalim selaku gitaris; Rahmat Sarbani (dram) dan Ahmad Jaafar (keyboard dan vokalis kedua).

Mengulas tindakannya yang menukar haluan dengan bergerak secara solo sebelum ini, Ramli berkata, ia sesuatu yang harus dilakukan demi kelangsungan hidup sebagai penyanyi.

Menurutnya ia memandangkan sebahagian daripada anggota kumpulan itu mempunyai pekerjaan lain tetapi dia sebaliknya kerana bekerja sepenuh masa sebagai penyanyi.

“Sweet Charity bukan satu kumpulan yang mesti bersama. Jika tak keluar, peminat tak dapat mendengar lagu seperti Bukan Kerana Nama, Doa Buat Kekasih dan Kau Yang Satu.

“Sama juga seperti Phil Collins, Sting dan Michael Jackson, mereka keluar dari band dan jadi satu nama yang besar.

“Saya tetap sokong mereka dalam apa jua projek yang nak dibuat, ini semua kekuatan rezeki masing-masing. Kalau saya asyik nak duduk malas tak berfikir, tak wujud nama Ramli Sarip seperti sekarang,” katanya.

Ada aura, kekuatan sendiri

Mengulas Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity, Ramli, 71, berkata lamaran untuk band itu kembali ke Kuala Lumpur boleh diibaratkan pucuk dicita ulam mendatang.

Menurutnya, konsert itu mempunyai nilai sentimental kerana diadakan di Kuala Lumpur selepas kali terakhir Sweet Charity beraksi di Stadium Merdeka pada 2011 - satu persembahan yang menjadi fenomena buat peminat.

“Sesuatu seperti ini kadang-kala hanya datang sekali, atau dua kali, ia tak mungkin berlaku selalu melainkan ada momen istimewa. Kami dikenali dengan persembahan live, jadi pemilihan lagu yang tepat juga adalah penting.

“Jangkakan sebuah persembahan yang segar kerana kami memiliki lagu-lagu yang boleh diolah, dibuat susunan baru, termasuk 15 lagu dalam senarai all-time favourite seperti Batu, Kamelia, Teratai dan Zakiah.

“Dan kenapa Semalam di Malaya? Ia judul yang nostalgia, zaman kami di Singapura, merentasi Johor menaiki bas, tanpa perlu pasport sebelum ada pemisahan negara. Banyak kenangan di situ,” katanya.

Menurut Ramli lagi, konsert di Kuala Lumpur akan menyajikan kelainan rasa dalam persembahan Sweet Charity yang tampil dengan dua konsert berskala besar, masing-masing di Johor Bahru dan Singapura, tahun ini.

Malah katanya, persembahan di Kuala Lumpur mungkin akan lebih padat kerana kelainan Sweet Charity dalam persembahan secara langsungnya.

“Sama tapi tak sama. Ada peminat yang sudah menonton di Singapura, mahu ke Kuala Lumpur juga. Gaya persembahan, tentunya akan memberikan kelainan kerana Sweet Charity ada aura tersendiri, kekuatan tersendiri.

“Orang sukakan Sweet Charity kerana persembahan live dan itulah yang menjadi kekuatan kami selama lebih 50 tahun ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS