Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mentega Terbang: Pengarah cabar pengharaman filem di mahkamah
Diterbitkan:  Dec 8, 2023 11:10 AM
Dikemaskini: 3:27 AM

Seorang pengarah filem dan rumah produksi merujuk mahkamah sivil untuk membatalkan pengharaman filem kontroversi 'Mentega Terbang' oleh kerajaan.

Khairi Anwar dan Meng Kheng Entertainment mencabar perintah pengharaman yang diwartakan terhadap filem itu.

Dalam satu kenyataan media hari ini, pengarah Lawyers for Liberty Zaid Malek mengesahkan pemfailan permohonan semakan kehakiman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Sept.

Peguam itu berkata, tindakan undang-undang itu menyasarkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan kerajaan persekutuan.

"Pemohon memohon perintah untuk membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri, untuk memaksa beliau membatalkan warta bertarikh 1 Sep 2023 dan bagi pengisytiharan bahawa Seksyen 26 Penapisan Filem 2002 adalah tidak berperlembagaan," kata Zaid.

Dia menambah bahawa permohonan kebenaran semakan kehakiman ditetapkan untuk perbicaraan mahkamah pada 31 Jan tahun depan.

Mentega Terbang dianggap oleh pihak tertentu sebagai ancaman kepada Islam.

Filem itu, yang pada mulanya disiarkan menerusi perkhidmatan penstriman Viu sebelum ia diturunkan, mengisahkan Aishah yang berusia 15 tahun ketika dia bergelut dengan persoalan tentang kehidupan selepas kematian dalam pelbagai agama selepas ibunya disahkan menghidap penyakit yang boleh membawa maut.

Bagaimanapun, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Putra mengecam filem itu kerana memaparkan kisah seorang Muslim yang mencari jawapan dalam agama lain.

Susulan laporan polis yang dibuat terhadap filem itu, pihak berkuasa melancarkan siasatan dan memanggil pengarah, penerbit dan pelakon Mentega Terbang untuk mendapatkan kenyataan mereka.

Kritikan terhadap filem itu semakin memuncak apabila pengarahnya Khairi menerima ugutan bunuh. Keretanya disimbah cat hitam dan merah.

Kereta pelakon Arjun Thanaraju turut disimbah cat merah dan asid di kediamannya di Ampang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS