Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penyanyi dan usahawan, Nora Ariffin beranggapan ada hikmah di sebalik insiden dia hampir maut gara-gara paru-parunya penuh air akibat kesilapan teknikal selepas dimasukkan ke sebuah pusat perubatan bulan lalu.

Nora yang berasakan ajalnya sudah tiba ketika itu ibarat mendapat peluang kedua untuk terus hidup dan melihat anak serta cucunya lagi.

“Saya dapat lihat kesungguhan suami uruskan anak-anak sepanjang ketiadaan saya di rumah, ini yang membuatkan saya kuatkan semangat untuk sembuh.

“Sepanjang 11 hari di hospital suamilah yang hantar dan ambil anak ke sekolah. Ini buatkan saya lebih hargai mereka dan nak cepat balik rumah,” katanya.

Berkongsi detik cemas itu, Nora berkata, asalnya dia mendapatkan rawatan di sebuah klinik kerana demam.

“Saya ke klinik sebab demam tapi doktor syak dijangkiti demam denggi, jadi mereka cadangkan untuk ke hospital.

“Di hospital, mereka masukkan air. Bagaimanapun, mungkin disebabkan berlebihan air (overdrip) pada bahagian paru-paru, ia mengakibatkan saya sukar bernafas,” katanya.

Nora berkata demikian pada majlis memperkenalkan rangkaian produk terbaru di bawah jenama miliknya, Secukup Rasa By Nora di sebuah kompleks beli-belah di Shah Alam hari ini.

Pada majlis itu, penyanyi berkenaan mengumumkan dua perisa pes iaitu pes kerutuk dan pes serbaguna yang kini boleh didapati di platform e-dagang.

Untuk rekod, Nora dimasukkan ke hospital pada 13 November lalu selepas dia mengadu sakit di bawah perut kiri sebelum diserang sesak nafas.

Ibu kepada empat orang cahaya mata itu kemudiannya ditempatkan di ICU selama tiga hari sebelum dibenarkan pulang selepas dirawat.

Menurut penyanyi Di Persimpangan Dilema itu, dia kemudian berpindah ke sebuah pusat perubatan lain untuk meneruskan rawatan dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Ketika itu katanya, dia sedang bertarung nyawa namun reda jika ajalnya sudah tiba.

“Sewaktu sesak nafas, saya nampak putih saja jadi ingatkan masa saya sudah tiba.

“Suami ketika itu ada di sebelah, jadi saya sempat pegang tangan dia dan minta maaf padanya serta pesan tolong jaga anak-anak,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nora berkata, di ICU doktor membuang air yang berlebihan dalam paru-parunya.

Menurutnya, doktor kemudian memaklumkan dia terkena serangan jantung ringan.

“Tapi, ia bukan disebabkan oleh kegagalan jantung sebaliknya disebabkan daripada air yang berlebihan itu.

“Saya juga bukan ditidurkan tap tak sedarkan diri selama dua hari,” katanya yang pulih sepenuhnya kira-kira seminggu selepas itu.

Ditanya sama ada dia bakal meneruskan dengan tindakan undang-undang, Nora berkata dia enggan memanjangkan cerita.

“Saya rasa tak perlulah. Pegawai perubatan juga adalah manusia yang tidak lari daripada melakukan kesilapan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS