Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Novel lucah didakwa dijual dalam pesta buku S’gor, KDN siasat
Diterbitkan:  Dec 7, 2023 11:36 AM
Dikemaskini: 5:00 AM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memulakan siasatan terhadap dakwaan terdapat novel lucah dijual dalam Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 (SIBF2023) yang sedang berlangsung di Shah Alam.

“Urus setia SIBF2023 sentiasa bekerjasama dengan pihak KDN bagi membuat pemantauan untuk menyemak kandungan yang dipamerkan dari masa ke semasa,” kata pengarah acara itu Zafrullah Aris.

Dalam kenyataan sebentar tadi, Zafrullah berkata pelbagai langkah telah diambil oleh pihak urus setia bagi memastikan kandungan yang bersesuaian untuk penjualan atau edaran kepada pengunjung.

“Taklimat dan peringatan kepada semua yang terlibat di SIBF2023 sentiasa dilaksanakan sama ada sebelum mahupun semasa pesta berlangsung,” katanya.

Menegaskan masih terdapat banyak bacaan berkualiti ditawarkan, dia bagaimanapun tidak mendedahkan langkah-langkah yang diambil pihak mereka.

"SIBF2023  berbaki empat hari lagi, masyarakat  diseru  dan  dijemput  hadir  tanpa gusar

di samping merebut pelbagai tawaran dan menyertai aktiviti menarik di SIBF2023,” katanya.

Setakat ini tidak jelas buku apa yang dirujuk penganjur. 

Bagaimanapun terdapat beberapa aduan di media sosial yang menamakan buku-buku yang diterbitkan semula daripada tulisan di portal perkongsian kisah asli Wattpad di Internet.

Kulit buku itu juga menyatakan bahawa ia untuk bacaan dewasa.

Malaysiakini sedang cuba mendapat maklum balas penerbit novel-novel yang itu yang beralamat di Kajang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS