Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lemah bahasa Melayu punca isteri Azlan Komeng anggap dicerai

Pelakon dan pelagak ngeri, Azlan Komeng tampil menjelaskan, bahawa isterinya Nur Nilam Ortiz menyangka dirinya sudah diceraikan kerana salah faham akibat penguasaan bahasa Melayu yang lemah.

Menurut Azlan, hal itu disebabkan isterinya bukanlah berketurunan Melayu sebaliknya berdarah Thailand - Sepanyol.

“Ramai yang mungkin tak tahu, isteri saya bukanlah berketurunan Melayu. Jadi dia kurang faham dengan istilah sebenar penceraian,” katanya.

Kata pemilik nama sebenar Muhammad Azlan Kamiran itu, insiden tercetus apabila mereka sedang berbincang perihal perniagaan yang ketika ini diusahakan secara bersama-sama.

“Waktu itu kami sedang bergaduh kerana masing-masing mempunyai idea tersendiri dalam menguruskan bisnes. Jadi, saya cakap dalam keadaan marah: Kau buat jalan kau, aku buat jalan aku.

“Disebabkan dalam keadaan marah, saya terus keluar rumah dan isteri terus ingat saya dah ceraikan dia,” kongsinya.

Azlan berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana filem Anak Perjanjian Syaitan 2 yang diadakan di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur malam tadi.

Baru-baru ini, Nur Nilam Sari memaklumkan dia sudah bercerai dengan Azlan melalui satu perkongsian video yang dimuat naik di TikTok.

Azlan, 47, berkata, penceraian sama sekali tidak berlaku kerana dia langsung tidak menyebut atau melafazkan talak kepada isterinya.

Namun, bagi mendapatkan kepastian, dia segera merujuk isu itu ke mahkamah.

“Perkara ini bukan boleh buat main-main. Saya orang Johor, belajar di sekolah agama. Esoknya kami cepat-cepat ke mahkamah.

“Apabila saya ceritakan hal ini di mahkamah, hakim pun tergelak. Perkara ini dianggap selesai, memang tak ada talak yang dijatuhkan.

“Jadi, saya mohon maaf bagi pihak isteri kerana dia terlalu cepat membuat interpretasi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS