Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Alif yakin Kaka takkan rugi disingkir kerana sokong Palestin

Penyanyi, pelakon dan pengacara Alif Satar berpendapat pasti ada hikmah di sebalik musibah sekiranya kontrak rakaman Kaka Azraff benar-benar ditamatkan kerana dia menunjukkan sokongan terhadap Palestin.

Justeru, kata Alif, penyanyi itu tidak perlu berasa kecewa sekiranya Warner Music mengambil tindakan drastik terhadapnya baru-baru ini.

“Saya pasti, apa yang terjadi adalah yang terbaik, insya-Allah.

“Itu sebab saya tekankan, jika dia digugurkan daripada perkhidmatannya… hey man ini soal akidah dan iman, jadi tiada yang lebih besar daripada itu,” katanya yang turut bernaung di bawah syarikat rakaman sama.

Bagi penyanyi Cukup Indah itu, setiap individu yang terkesan akan menzahirkan sokongan mereka mengikut cara tersendiri dalam mengiktiraf perjuangan Palestin menentang Israel.

Malah pemilik nama penuh Muhammad Alif Mohd Satar itu berkata, dia teruja apabila membaca komen-komen di ruangan media sosial yang menunjukkan sokongan kepada Kaka.

“Semua orang ada cara masing-masing, begitu juga Kaka. Saya doakan yang terbaik ketika waktu sukar ini.

“Saya pun suka tengok komen-komen yang menyokong Kaka dan sama-sama bersolidariti untuk mereka yang terkesan di Palestin,” katanya.

Alif berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Anak Perjanjian Syaitan 2 di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur malam tadi.

Filem sekuel mendapat arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri itu berkisahkan perjalanan seorang wanita bernama Azlinda, lakonan Eyka Farhana yang berjuang menentang gangguan mistik sejak kecil.

Naskhah terbitan Grand Brilliance Studio itu dijadual menjengah pawagam tanah air dan Brunei pada 4 Januari tahun depan.

Selain Alif, 33, dan Eyka, barisan pelakon turut menjayakan filem itu adalah Fasha Sandha, Azizah Mahzan, Dian P Ramlee, Shahruddin Tamby, Nadzmi Adhwa dan Elly Arifin.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan pengguna alam maya mengecam tindakan Warner Music yang didakwa menamatkan kontrak Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff pada 31 Disember ini, iaitu empat bulan lebih awal kerana kelantangan penyanyi itu menyokong Palestin.

Mengikut laporan yang tular sebelum itu, kontrak Kaka juga didakwa bakal ditamatkan 31 Disember ini, lebih awal daripada tarikh yang sepatutnya.

Ia selepas Kaka meninggalkan komen kepada Nathaniel Buzolic, seorang pelakon Australia pro-Israel baru baru ini hingga mengakibatkan namanya disenaraikan dalam Instagram Jew Hate Database.

Akaun itu ditubuhkan untuk menjatuhkan penyokong-penyokong Palestin.

Penyanyi Ada JalanNya itu dijangka memberi kenyataan berhubung perkara berkenaan malam ini.

Sementara itu, mengulas sokongannya terhadap Palestin, Alif berkata, dia berlapang dada jika pendiriannya mungkin mengakibatkan dia kehilangan beberapa tawaran pekerjaan.

Pun begitu, dia sedaya-upaya mengamalkan sikap profesional terutama apabila sudah mengikat kontrak dengan sesebuah syarikat rakaman.

“Alif jelas dengan pendirian dan sokongan sepenuhnya pada Palestin, namun dari sudut profesionalisme, apabila terikat dengan kontrak, kita kena patuh.

“Sebagai manusia pasti akan terfikir dan risau, namun kita juga harus menegakkan pendirian sendiri. Jika hilang, hilanglah (pekerjaan),” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS