Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Siti Nordiana, lima sekawan selesai kes saman RM2.5j luar mahkamah
Diterbitkan:  Dec 5, 2023 3:33 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Kes saman fitnah RM2.5 juta dikemukakan penyanyi Siti Nordiana Alias terhadap lima sekawan termasuk Lan Solo dan Syura Badron berakhir dengan mereka saling bermaaf-maafan.

Ini selepas mereka bersetuju menyelesaikan perkara di luar Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur hari ini.

Siti Nordiana selaku plaintif dan lima sekawan bersetuju dengan terma-terma penyelesaian bagi mengelak perbicaraan lebih panjang.

Siti Nordiana diwakili peguam Abang Azlan Abang Ariffin.

Selain Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 38, dan Syura, 37, tiga individu lain turut dinamakan sebagai defendan ialah Nur Sheila Hassim, 38, dan Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.

Peguam Azlan Abdul Razak mewakili Lan Solo, Nur Sheila dan Syura manakala peguam Nur Izzaida Zaman mewakili Razidah dan peguam Fithril Hakim Ab Jalil mewakili Sam Musyadzahar.

Selepas pihak terlibat bersetuju, Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan kemudian merekodkan penghakiman persetujuan selain turut melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini.

Antara pernyataan permohonan maaf kedua-dua pihak itu menyebut ia dibuat berdasarkan perhubungan persahabatan antara mereka sebelum ini.

“Dengan ini kami berharap agar persengketaan dan salah faham yang telah berlaku sebelum ini antara kami terhenti di sini dan biarlah menjadi sejarah pahit yang tidak akan berulang,” kata pernyataan itu dipetik Kosmo Online.

Antara saksi-saksi plaintif yang dipanggil memberi keterangan sebelum ini ialah Siti Nordiana sendiri, pengurusnya, Mohamad Al Anas Osman dan wartawan kanan hiburan, Tengku Khalidah Tengku Bidin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS