Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Scha beri anak pendidikan seks dari kecil elak tragedi

Realiti dunia yang kejam tidak harus disorokkan daripada anak-anak, justeru pelakon Scha Alyahya bersikap terbuka dalam mendidik Lara Alana berkenaan seks kerana bimbang kes rogol semakin meningkat khususnya melibatkan individu bawah umur.

Sebagai ibu, katanya, dia perlu berusaha memelihara maruah dan melindungi Lara yang berusia sembilan tahun itu daripada perkara tidak diingini sama ada melalui individu tidak dikenali mahupun rakan sebaya.

“Saya risau dengan generasi akan datang kerana ia tak akan jadi mudah untuk mereka terutama dengan akses di media sosial.

“Saya juga tahu isu sebegini biasanya agak tabu (sensitif) untuk dibincangkan secara umum.

“Namun apa yang kami sebagai ibu bapa boleh buat ialah mengajar dia untuk berwaspada sekiranya ada mana-mana individu yang menyentuh bahagian tak dibenarkan,” katanya.

Scha atau nama asalnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya berkata, dia turut menitikberatkan pembentukan adab dan akhlak dalam kehidupan seharian anak-anaknya.

Menurut isteri pengacara Awal Ashaari itu, dengan akhlak yang tinggi, seseorang mungkin boleh terhindar daripada terjebak dalam perkara melalaikan.

“Memang sukar kita nak halang, kadang-kadang mungkin tak tahu apa dia buat di belakang kita.

“Tapi apa yang boleh kita kawal, kita buat misalnya cara Lara menari di TikTok: Saya selalu beritahu jangan menari sebegitu.

“Itu sebab perkara asas yang kuat seperti akhlak perlu diterap kerana ada rasionalnya kita ajar pada dia, ini boleh menghalang dia daripada melakukan perbuatan tak elok,” katanya pada pelancaran produk Glade Essences baru-baru ini.

Selain Lara, Scha yang mendirikan rumah tangga dengan Awal pada 4 Mei 2012 turut dikurniakan seorang lagi cahaya mata iaitu Lyla Amina, 2.

Mengakui dirinya seorang ibu yang tegas, Scha turut mengawal pergerakan mahupun aktiviti harian anak sulungnya itu.

Scha, 40, antaranya mengehadkan tempoh penggunaan gajet pintar dan cara Lara Alana menggunakan media sosial.

Katanya, alat telefon pintar hanya dibenarkan maksimum sekali atau dua kali saja dalam seminggu.

“Kami kawal berapa lama Lara boleh guna. Dia perlu minta kebenaran jika perlu guna lebih daripada waktu yang ditetapkan.

“Hanya Sabtu dan Ahad bermula dari jam 8 hingga 10 malam saja malah kami juga padam mana-mana aplikasi yang mengarut.

“Bukan apa, bimbang dia boleh bersembang dengan individu tak dikenali yang mungkin berbahaya secara dalam talian,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS