Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Roy Azman bersyukur kereta tak terbalik ketika api marak
Diterbitkan:  Dec 4, 2023 2:21 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Pelakon Roy Azman berkongsi cerita bagaimana dia berdepan detik cemas bersama isteri dan anak bongsu mereka berdepan api sedang marak dan hampir hilang kawalan terhadap kenderaan dipandunya.

Katanya apabila brek kaki tidak berfungsi seperti sepatutnya, dia terfikir pelbagai kemungkinan lain yang boleh berlaku ke atas mereka sekeluarga.

“Saya nak berhenti di tepi tapi brek (kaki) macam kosong, tak berfungsi, mujur boleh gunakan brek tangan, tapi kereta tersasar sikit. Nasib baik tak langgar pembahagi jalan.

"Kalaulah terbalik, memang tak tahu nak cakap apa dah,” katanya mengenai insiden semalam.

Kata Roy, 53, kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas menikmati makan malam bersama keluarga.

Bagaimanapun, pelakon Pemburu Bayang itu bersyukur kerana mereka sekeluarga sempat keluar dari kereta sebelum ia hangus dijilat api.

“Kami dalam perjalanan pulang ke rumah sekitar pukul 11 malam. Sewaktu memandu, ada kereta lain bunyikan hon sebagai amaran kereta sedang terbakar.

“Memang pada awal saya tak perasan ada api sebab ia bermula di bahagian bawah kereta. Namun, alhamdulillah saya dapat keluarkan isteri dan anak bongsu dengan selamat.

“Kami kemudian terus lari selamatkan diri. Rezeki Allah kami selamatkan dalam kejadian tak diingini. Saya bersyukur sangat. Kereta memang total loss, tapi yang penting keselamatan,” katanya.

Roy berkongsi perkara itu dengan memuat naik klip video dan gambar keretanya sedang terbakar di media sosial kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

Turut kelihatan, beberapa anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja pemadaman.

Ceritanya lagi, kereta tersebut sebenarnya baru diambil dari bengkel selepas dihantar ke situ untuk proses baik pulih.

“Kereta itu saya hantar overhaul di Ampang. Lepas siap, saya terus ambil,” katanya yang mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bertanya khabar dan prihatin terhadap dia, isteri dan anak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS