Syarikat rakaman Warner Music Malaysia meraih kecaman netizen gara-gara tular kontroversi laporan kontrak Kaka Azraff bakal ditamatkan pada 31 Disember ini susulan kelantangan penyanyi itu menyokong Palestin.
Pengguna alam maya meluahkan kemarahan malah rata-rata menggesa syarikat rakaman terbabit yang disifatkan pro-Israel supaya menutup operasi mereka di negara ini.
“Warner Music penyokong Israel. Suruh mereka berambus dari Malaysia,” tulis seorang pengguna akaun media sosial.
Seorang lagi netizen berkata lesen syarikat itu wajar ditamatkan.
“Tamatkan lesennya, itu saja yang harus dilakukan. Jangan mahu dipijak-pijak kepala,” katanya.
Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, sebelum ini meninggalkan komen mengecam pempengaruh dan pelakon Australia yang pro-Israel, Nathaniel Buzolic.
“Kerana Israel adalah orang yang memulakan (perang). Israel mencuri tanah mereka dan kini bertindak seperti mereka mangsa?” tulis Kaka.
Gara-gara kenyataan itu, sebuah laman sosial, Jew Hate Database menyenaraikan nama Kaka sebagai antisemitik.
Laman Instagram terbabit ditubuhkan bagi menyenaraikan mana-mana individu mahupun selebriti pro-Palestin untuk tujuan tertentu.
Ia antaranya berkempen untuk menjatuhkan Kaka dan memaparkan maklumat dirinya sebagai artis bernaung di bawah Warner Music Malaysia.
Selain Kaka, nama pelakon veteran Hollywood, Susan Sarandon turut disenaraikan gara-gara kenyataannya yang bersimpati dan memihak kepada Palestin.
Bagaimanapun, dalam temu bual bersama media baru-baru ini, Kaka memilih untuk tidak mengulas isu penamatan kontrak tersebut selain memohon diberi masa sebelum membuat sebarang kenyataan.
Pada 13 Oktober lalu, Warner Music Group memuat naik hantaran Instagram menyatakan sokongan terhadap Israel selain turut melabelkan Hamas sebagai kumpulan pengganas.
“Kami mengutuk serangan pengganas Hamas terhadap Israel dan pembunuhan beramai-ramai nyawa tidak berdosa.
“Kami menentang antisemitisme dan kami menyokong Israel dan komuniti Yahudi di seluruh dunia. Kami juga menentang sebarang bentuk diskriminasi dan perkauman,” kata kenyataan itu.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi pihak Warner Music Malaysia bagi mengulas isu tersebut.