Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tiko Aryawardhana kembalikan senyuman BCL
Diterbitkan:  Dec 2, 2023 7:49 PM
Dikemaskini: 11:49 AM

Pernikahan kali kedua hari ini bersama Tiko Aryawardhana tidak bermaksud penyanyi dan pelakon Bunga Cinta Lestari (BCL) akan melupakan arwah suami, Ashraf Sinclair yang pernah hadir dalam hidupnya.

Malah, BCL mengakui kehilangan Ashraf cukup dirasai hingga dia beranggapan tidak mungkin dirinya boleh kembali ceria seperti dulu.

“Melihat ke belakang, berasakannya kembali, saat aku bertanya apakah bahagia itu akan ada?

“Iya hari demi hari berlalu, sedikit demi sedikit aku beradaptasi dengan sakit, menjalani hidup dengan kesedaran kalau sakit ini tidak akan pergi akan tetap akan ada di situ dan terus di situ,” katanya di media sosial.

Namun, BCL, 40, berkata, lelaki yang diijabkabulkan dengannya amat istimewa kerana mampu mengembalikan kehidupannya yang dulu.

Malah lebih istimewa, Tiko, 43, yang juga pegawai pemasaran bank terkemuka di Indonesia itu membuatkannya kembali mengingatkan apa itu sebuah rumah.

“Kesakitan tetap berada di situ. Tapi lelaki ini bawa kembali senyumanku.

“Dia juga bawa saya ke tempat yang tak mungkin saya impikan untuk panggil rumah,” katanya.

“Kamu rakan baik saya, cahaya di dalam gelap, rakan dan juga cinta, terima kasih kerana benarkan saya menjadi diri sendiri, terima kasih kerana menyayangi kesakitan saya dan menyayangi semua mengenai diri ini,” katanya.

Hari ini BCL diijabkabulkan dalam satu majlis tertutup yang diadakan di Resort Amankila di Bali yang dihadiri anggota dan rakan terdekat.

Momen indah BCL turut diraikan keluarga arwah Ashraf.

BCL dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada 2008 di Jakarta dan dikurniakan seorang anak lelaki, Noah, 11.

Ashraf meninggal dunia pada 18 Februari 2020 akibat sakit jantung.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS