Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Insiden pelik paksa Cat Farish, isteri tarik diri dari karnival

Susulan beberapa insiden yang menimbulkan tanda tanya, penyanyi Cat Farish dan isteri terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan aktiviti penjualan popia cekodok pisang buat sementara waktu.

Kata Cat, keputusan itu dibuat terutamanya membabitkan perniagaan di mana-mana tapak karnival selepas kejadian "tidak menyeronokkan" tersebut.

“Ada perkara tak menyeronokkan berlaku. Kami dilanda sesuatu.

"Jadi saya dan isteri tarik diri dan tak buka gerai jualan. Kami hanya buka perniagaan di rumah saja,” katanya.

Menurut Cat atau nama sebenar Farish Ramli, dia dan Shikin Maembong berdepan pelbagai kejadian aneh itu sejak tiga bulan lalu.

Disebabkan situasi yang tidak dapat dijelaskan itu, katanya, perniagaan diusahakan mereka kemudian mencatatkan kemerosotan yang ketara.

“Ada yang cakap ini mungkin berpunca daripada buatan orang. Ada pula yang kata kami mungkin 'terkena' dalam salah satu acara kami sertai.

“Biasa boleh jual kira-kira 200kg hingga 300kg pisang, tapi sekarang nak laku 50kg pun belum tentu,” katanya pada sidang media pengumuman Malaysia Hobby Expo 2023 di sebuah hotel di Bukit Bintang, Kuala Lumpur semalam.

Dia bersama anggota Ruffedge yang lain akan mengadakan persembahan di Konsert Passion of Sound pada 2 Dis ini. Acara berkenaan menjadi sebahagian daripada kemuncak Malaysia Hobby Expo.

Turut ganggu kesihatan

Selain Ruffedge, ekspo yang akan berlangsung selama dua hari itu turut dijayakan Gerhana Ska Cinta, Insomniacks, Saixse dan Hujan.

Malaysia Hobby Expo 2023 yang kembali lagi untuk tahun kelima menjanjikan pameran lebih daripada 50 jenis hobi. Antaranya kereta kawalan radio, koleksi vintaj, sukan lasak, haiwan peliharaan, buku dan majalah serta seni kraftangan.

Kata Cat, 49, dia asalnya tidak mahu mempercayai mengenai kejadian itu mempunyai kaitan dengan sebarang perkara mistik namun berubah fikiran apabila menemui banyak wang syiling di salah satu gerai jualannya di Kedah.

“Apabila dirujuk, ada yang menyatakan ia antara tanda seseorang menghantar 'sesuatu'.

“Bukannya saya percaya sangat hal-hal berkaitan wang syiling ini, tapi memang tak masuk akal. Kami tak gunakan wang syiling yang banyak apatah lagi dari Thailand.

“Apabila dirujuk perkara itu kepada ustaz, dia minta saya ambil syiling dengan tangan yang berlapik kemudian kumpulkan dan tutup," katanya.

Selain itu, kata Cat lagi, ada juga beberapa insiden membabitkan kaki pekerja mereka mengalami bengkak-bengkak.

Sementara itu, Shikin berkata, kejadian dialami itu turut mengakibatkan kesihatannya terganggu.

Shikin yang mendakwa sudah lama tidak terkena serangan asma berkata, selepas insiden misteri itu dia kembali mengalami gejala sama sehingga memerlukan bantuan pernafasan.

“Saya menangis sebab ia babitkan usaha dalam perniagaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS