TINJAUAN | Berhibur di konsert Coldplay: Music of The Spheres World Tour yang berlangsung malam ini bukan bermaksud pengunjung mengabaikan penderitaan Palestin yang berdepan konflik dengan Israel.
Sekurang-kurangnya itu yang dikatakan beberapa peminat Coldplay yang ditemui di sekitar Stadium Nasional di Bukit Jalil.
Menurut Siti Zubaidah, 25, konsert band dari Britain itu hanya memakan masa beberapa jam saja.
“Sudah pasti konsert ini hanya sementara saja. Pada hari-hari yang lainnya, kami aktif menyebarkan sokongan kami kepada Palestin melalui media sosial.
“Jadi, berhibur sebentar tak bermaksud kami lupa kepada Palestin,” katanya yang datang bersama dua lagi rakannya, Izyan Hannani Mohd Rozaimi, dan Iqmal Zulkfili.
Nasrul Jefri, 30, pula berkata dia dan empat lagi rakannya sudah membeli tiket sejak beberapa bulan yang lalu dan ketika itu konflik terbaru Palestin-Israel belum tercetus.
Menegaskan mereka tetap peduli dan endah terhadap kemelut yang masih belum berakhir itu, Nasrul memberitahu dia tetap bersolidariti bersama Palestin.
“Tak semestinya kami pergi konsert Coldplay bermaksud kami tak ambil kisah isu Palestin.
"Kami masih tetap prihatin dengan nasib malang menimpa mereka,” katanya.
Bagi pengunjung dari Pulau Pinang, Suzanne Jamie, 40, bersama rakannya dari Sarawak, Tony Kadir, mereka berpendapat hiburan tidak wajar dicemari dengan isu politik.
Katanya kontroversi melanda Coldplay tidak sewajarnya timbul terutama apatah lagi sehingga ada pihak mencadangkan agar konsert itu dibatalkan.
“Jangan samakan hiburan dengan politik,” katanya.
Sementara itu, beberapa penonton tetap berpuas hati walaupun hanya dapat menikmati lagu-lagu Coldplay dari luar stadium.
Sekumpulan peminat kelihatan membawa kerusi lipat dan alas duduk untuk menikmati lantunan lagu-lagu Coldplay di luar stadium.
Menurut Sie Kaiwen, 24, dan Nicole Lim, 39, mereka pada awalnya kecewa kerana tidak berjaya menempah tiket sebaik saja ruang dibuka secara dalam talian pada Mei lalu.
Malah, katanya, dia juga tidak sempat mendapatkan tiket apabila jualan dibuka semula minggu lalu.
“Pada Mei lalu saya sanggup ambil cuti semata-mata nak beli tiket walaupun secara dalam talian, tapi malangnya tak berjaya,” kata Kaiwen.
Justeru, dia dan beberapa peminat Coldplay yang lain termasuk Nicole mengambil keputusan tetap hadir walaupun sekadar duduk di luar stadium.
Kata Nicole pula, walaupun tidak berpeluang masuk stadium, dia datang seawal jam 4 petang bagi mengelak kesesakan lalu lintas.
“Tak ada pilihan, dengar suara saja tetap memadai bagi kami,” katanya yang terpaksa meredah hujan untuk mencari tempat duduk terbaik.
Nur Shikin Aseri, 38, pula gembira kerana konsert Coldplay tidak dibatalkan.
Sebagai peminat tegar kumpulan itu, kata Nur Ashikin, akhirnya dia dapat menonton persembahan tersebut dan ia menjadi lebih istimewa kerana disaksikan bersama suaminya, Zainur Rijal, 36.
“Saya sangat gembira sebab dapat peluang yang mungkin sekali seumur hidup. Kami baru beli tiket Ahad lalu,” katanya.
Peniaga, Mel Subhi Kamaruzaman, 33, ketika ditemui pula berkata, dia bersyukur kerana kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mengharamkan konsert berkenaan.
Hal itu kerana, katanya, sebagai peniaga kecil-kecilan, dia dapat menjana pendapatan ibarat dua bulan gaji dengan membuka tapak menjaja di bawah stesen LRT Bukit Jalil itu.
“Terima kasih kerajaan Madani dengan konsert seperti ini saya dapat tambah pendapatan.
“Dari segi kutipan agak memberangsangkan walaupun jualan perlahan,” katanya yang sanggup memohon cuti selama dua hari bagi menguruskan jualannya.