Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Susan Sarandon dihukum agensi kerana pro-Palestin
Diterbitkan:  Nov 22, 2023 2:38 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

Pemenang Oscar Susan Sarandon digugurkan daripada syarikat pengurusan bakat Hollywood selepas dia membuat komen memihak dan bersimpati kepada Palestin dalam konflik dengan Israel minggu lalu.

Jurucakap United Talent Agency, Richard Siklos, mengesahkan bahawa agensi berkenaan tidak lagi mewakili pelakon Dead Man Walking itu.

Siklos bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara tersebut.

Melalui satu video diterbitkan oleh The New York Post, Susan, 77, yang juga kelahiran AS menggesa supaya gencatan senjata dilakukan di Gaza.

“Terdapat ramai orang yang takut, mereka takut menjadi Yahudi ketika ini dan merasai apa yang selama ini dirasai oleh seorang Muslim di negara ini - iaitu mereka terdedah kepada kekerasan,” katanya.

Susan juga menegaskan, sikap kritikal terhadap Israel tidak boleh dianggap sebagai antisemitik.

“Ada perkara buruk berlaku iaitu apabila antisemitisme sering dikelirukan seperti menentang Israel.

“Saya menentang antisemitisme. Saya (juga) menentang Islamofobia,” katanya yang turut terkenal melalui filem Bull Durham dan Thelma & Louise itu.

Pembunuhan massa

Aktres berkenaan yang muncul dalam filem terbaru DC Comic tahun ini, Blue Beetle, memang seorang yang terkenal sebagai aktivis politik.

Bagaimanapun, setakat ini, Susan belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pemecatan berkenaan.

Selain Susan, seorang pendatang baru industri, Melissa Barrera pula dipecat daripada Scream VII susulan catatan Instagramnya yang menunjukkan sokongan terhadap Palestin.

Melissa Barrera

Melissa, 33, digugurkan daripada sekuel keempat Spyglass Media Group kerana kenyataan yang dibuat kononnya anti-Semitik.

“Mengawal semua orang, dengan tiada tempat nak dituju, tiada bekalan elektrik dan air. Masyarakat tidak belajar apa-apa dari sejarah kita.

“Dan seperti sejarah, mereka juga masih diam sambil memerhatikan apa yang berlaku.

“Ini adalah pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik,” kata warga Mexico itu.

Wakil Melisa juga belum membuat kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS