Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Wujud bukti kukuh untuk bicarakan kekasih Rihanna atas tuduhan jenayah
Diterbitkan:  Nov 21, 2023 4:42 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Hakim Los Angeles memutuskan terdapat bukti kukuh untuk membicarakan A$AP Rocky - yang juga kekasih penyanyi terkenal AS, Rihanna - atas dua pertuduhan jenayah membabitkan serangan senjata semi automatik.

Rocky, atau nama sebenarnya Rakim Mayers, dituduh mengacukan pistol ke arah seorang lagi artis hip-hop dan bekas rakannya, Terell Ephron, sewaktu pertengkaran berlaku, sebelum melepaskan dua tembakan ke arah Ephron pada konfrontasi kedua.

Kedua-dua pertemuan berlaku pada 6 November 2021.

Pendakwa raya mendakwa Ephron mengalami kecederaan ringan susulan kejadian tembakan itu.

Rocky, 35, ditahan berhubung pertengkaran itu lima bulan kemudian iaitu pada April tahun lalu sewaktu dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles dari Barbados. Rocky didakwa pada Ogos tahun itu.

Menurut jurucakap peguam pejabat daerah, Hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles M.L. Villar memutuskan bahawa pendakwa raya mempunyai bukti yang mencukupi untuk meneruskan perbicaraan bagi kedua-dua pertuduhan serangan, termasuk dakwaan bahawa Rocky secara peribadi menggunakan senjata api sewaktu kejadian.

Bagaimanapun, pemuzik kelahiran Harlem itu yang dibebaskan dengan jaminan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terhadapnya.

Dia boleh dipenjarakan sehingga 24 tahun jika disabitkan kesalahan atas semua pertuduhan, kata pendakwa raya.

Agensi berita tempatan melaporkan, peguam Rocky, Joe Tacopina, dalam hujahnya di mahkamah berkata, pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti mencukupi bagi menunjukkan berlaku tembakan selain bergantung kepada pelbagai video pengawasan dan keterangan yang dikatakan pihak pembelaan tidak konklusif.

Pihak pembelaan turut mempersoalkan kesahihan keterangan Ephron yang mendakwa dia mengalami kecederaan pada bahagian tangan kiri susulan tembakan itu.

Ephron, yang membuat persembahan pentas menggunakan nama A$AP Relli sebagai sebahagian kumpulan kolektif hip hop yang pernah menggabungkan dia dan Rocky turut memfailkan saman sivil ke atas penyanyi rap itu.

Sejak penahanan Rocky pada April 2022, Rihanna telah melahirkan dua anak lelaki penyanyi hip hop itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS