Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Azadan pesan hindari Coldplay, pilih konsert kerohanian

Berbaki dua hari lagi sebelum tibanya konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur, ketua kumpulan Rabbani menasihatkan masyarakat agar tidak terbabit dalam penganjuran aktiviti yang boleh membawa seseorang "menyimpang jauh" dari jalan ketuhanan.

Azadan Abdul Aziz berkata, konsert yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu boleh memberi pengaruh kurang baik kepada budaya negara ini.

“Ini bukan soal Muslim atau non-Muslim, soalnya ialah, konsert sedemikian merosakkan akhlak kerana terdapat pergaulan di luar batasan maka ia tak sesuai dengan budaya kita.

“Kenapa kita perlu mengundang budaya yang bukan cara hidup kita yang sepatutnya?” kata Azadan kepada Malaysiakini.

Justeru, menurutnya lagi, sekiranya ingin berhibur, masyarakat wajar meletakkan agama di tempat sepatutnya.

Antaranya kata Azadan dengan memilih untuk menghadiri konsert-konsert yang mempunyai pengisian kerohanian.

“Sebenarnya, dalam apa jua situasi, kita ada pilihan. Di negara kita memang banyak program yang membawa ke arah kebaikan dianjurkan,” katanya.

Sebelum ini konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur mengundang banyak perhatian yang antaranya menggesa supaya ia dibatalkan.

Mereka yang mendesak mendakwa kumpulan itu pro-LGBT justeru tidak wajar untuk menjadi ikutan selain dibimbangi merosakkan akidah orang Islam.

Kata Azadan antara konsert yang wajar dimeriahkan ialah Konsert Simfoni Kesyukuran 2.0 yang dijadual berlangsung pada 2 Dis ini di Zepp Kuala Lumpur.

Melalui konsert itu juga, menurutnya, ia diyakini dapat mengukuhkan solidariti selain menzahirkan sokongan terhadap warga Palestin yang kini diserang oleh tentera Israel.

“Apa berlaku di sana sekali gus membuatkan kita di negara terus menjaga keamanan negara.

“Kita nak bersolidariti tapi pada masa sama perlu kuatkan jiwa dengan lagu-lagu ketuhanan.

“Mungkin segelintir pihak berpandangan tidak sesuai diadakan sebarang konsert bagi menghormati keperitan Palestin tapi kami mengambil asas kemunculan kami dalam industri muzik nasyid adalah menghibur dengan mendidik jiwa,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS