Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Cef selebriti, Fazley Yaakob, akan 'membuat perhitungan' dengan Duta dalam perlawanan badminton atau acara Tepok Bulu 2023 di Jakarta, Indonesia jam 8.30 malam ini.

Mengakui meminati lagu-lagu Sheila on 7 (SO7), Fazley bagaimanapun yakin pertembungan di antara dia dan vokalis band terbabit akan menjadi detik 'sukar' buat mereka.

“Saya tak sampai hati sebenarnya nak smash dia (Duta). Bayangkan nanti macam mana sebab saya terpaksa berentap dengan idola sendiri.

“Tapi, Duta bukan calang-calang pemain badminton. Dia seorang yang handal dan aktif bersukan apatah lagi anak-anaknya juga begitu,” katanya.

Fazley, 45, mengakui pada asalnya dia menolak cabaran tersebut tetapi akhirnya bersetuju selepas diberitahu tujuan acara itu diadakan.

Katanya, sewaktu kecil dia pernah menetap di Indonesia dan selalu mengikuti bapanya menyaksikan perlawanan badminton, justeru dia mahu mengimbau kenangan lama yang mengingatkan orang tuanya itu.

Duta

“Perlawanan itu diadakan sempena memperingati Stadium Istora Gelora Bung Karno yang tak akan digunakan lagi selepas ini.

“Boleh dikatakan hampir setiap minggu saya pergi stadium itu bersama ayah saya untuk menonton perlawanan badminton. Jadi apa salahnya nak imbau kenangan lama,” katanya ketika ditemui pada sidang media Tepok Bulu 2023 di restoran Suka Sucre di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk rekod, Fazley akan bergandingan dengan Imran Aqil sebagai pasangan regu.

Selain Fazley, selebriti yang turut mewakili Malaysia ialah Atu Zero dan Atita Haris, manakala Vincent Rompies, Arya Saloka dan Ziva Magnolya menjadi pertaruhan Indonesia.

Penyanyi Malaysia, Noh Salleh, pula dipilih sebagai pengulas acara berkenaan yang akan dihoskan oleh Harley Valentina dan Ebel Cobra.

Atu Zero

Sebagai persiapan, keempat-empat selebriti juga mendapat bimbingan jurulatih profesional yang juga bekas pemain badminton negara, Chan Chong Ming.

Mengulas lanjut, Fazley berkata, cabaran perlawanan itu lebih dirasai apabila mengenangkan dirinya bukan sekadar bermain tetapi turut membawa nama Malaysia.

Lebih membimbangkan katanya, apabila memikirkan bagaimana keserasian dia dengan pasangan regunya nanti.

“Saya gementar walaupun sekadar perlawanan suka-suka, saya tetap bawa nama Malaysia. Memang saya biasa main badminton secara perseorangan tapi kali ini ada Imran sebagai pasangan regu.

“Jadi, cabaran itu sudah tentu ada kerana kami baru saja sesuaikan diri. Tambahan pula, saya perlawanan itu akan ditonton oleh jutaan orang.

“Penonton boleh menonton acara itu secara langsung melalui YouTube Vindes yang jadi penganjur. Tahun lepas di saluran itu ditonton sebanyak 1.5 juta penonton,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS