Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Noki masih impikan wanita berpurdah, sedia perbaiki diri

Biarpun mengundang perhatian gara-gara mendambakan wanita berpurdah sebagai isteri, penyanyi yang juga anggota K-Clique, Noki, menjelaskan hasratnya itu akan terlebih dulu cuba diseimbangkan dari sudut kerohanian.

Justeru, menyedari dirinya masih jauh ketinggalan dalam soal agama atau belum layak menikahi wanita yang solehah, Noki berkata, dia masih berusaha membaiki diri untuk menjadi lebih baik.

“Saya tahu ada orang kata saya demand tinggi nak wanita tahu agama, tutup aurat (purdah), tapi tindakan tak seiring dengan imej diri yang dipaparkan.

“Jadi untuk memiliki wanita seperti itu saya pastikan untuk kejar dua perkara dulu iaitu cuba seimbangkan kehidupan duniawi dan akhirat sebaik mungkin,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Ahmad Ikhwan itu, dalam mencari diri sendiri sebelum ini, dia juga pernah kecewa kerana tidak membalas segala kebaikan yang diberikan Allah.

Katanya, hal itu berlaku sedangkan segala keinginannya sudah dipenuhi.

“Nak popular, nak rasa duit, nak itu ini, apa saja saya minta - semua dapat, Allah makbulkan. Tapi sewaktu perintah kawalan pergerakan ketika pandemik lalu, saya diuji.

“Ia buatkan saya mahu kembali ke pangkal jalan. Dalam hati terdetik kenapa aku tak boleh amalkan apa Allah minta. Alhamdulillah, kehidupan sekarang semakin baik.

“Bukan saja jaga solat tapi amalan harian lain yang baik seperti sunah nabi juga perlu dipraktikkan walaupun zaman kita hidup jauh berbeza,” katanya.

Noki berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton filem sulungnya, War On Terror: KL Anarki, di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Karya arahan Kroll Azree dan Frank See itu bakal menjengah pawagam bermula 23 Nov ini.

Turut menjayakan filem itu ialah Aedy Ashraf, Farali Khan, Adlin Aman Ramli, Wan Hanafi Su dan Daiyan Trisha.

Noki , 29, juga mendedahkan sebelum menceburkan diri dalam dunia hiburan, dia pernah terlibat dalam aktiviti kumpulan Tabligh selama dua tahun di Sabah.

Sudah jauh tertinggal

Katanya, mereka sempat mengunjungi masjid-masjid di negeri terbabit untuk berdakwah meskipun ada kalanya perlu berdepan pelbagai rintangan kecil.

“Kami akan keluar setiap bulan selama tiga hari. Ada tempat-tempat kami pergi tiada bekalan air dan elektrik,” katanya.

Sementara itu, mengulas soal jodoh, Noki berkata dia merancang untuk menamatkan zaman bujang sekurang-kurangnya tahun depan iaitu ketika dia berusia 30 tahun.

Katanya, timbul sedikit tekanan memandangkan ramai rakan seperjuangan yang sudah mendirikan rumah tangga lantas membuatkan dia juga tidak mahu ketinggalan mempunyai seorang suri hati.

“Asalnya saya bercadang untuk berkahwin sewaktu usia 25 tahun, sama seperti usia nabi Muhammad SAW menikahi Siti Khadijah. Tapi kini saya sudah jauh ketinggalan.

“Jadi, ada sedikit tekanan untuk tamatkan zaman bujang bila tengok kawan-kawan yang lain seperti MK K-Clique dah kahwin.

“Teringin bangun tidur nanti lihat wajah yang manis di sebelah dan balik rumah boleh rasa masakan isteri,” katanya yang sedang mengenali hati budi seorang wanita yang juga pelakon.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS