Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mimi Lana bida lukisan pendakwah demi Palestin
Diterbitkan:  Nov 15, 2023 6:00 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Demi solidariti kepada Palestin, pelakon Mimi Lana malam tadi membida sebuah lukisan air tangan pendakwah, Asni Abu Mansor, pada harga RM3,600.

Bidaan awal lukisan itu dibuka pada harga RM3,000.

Semua wang yang dikumpulkan akan disalurkan kepada pertubuhan Tabung Cinta Gaza sebelum disalurkan kepada penduduk di wilayah Palestin yang sedang diganasi rejim Zionis.

Mimi melalui perkongsian di Instagram berkata, majlis itu dianjurkan rakan selebriti Betty Rahmad dan sesi perkongsian mengenai Palestin adalah satu ilmu yang begitu bermakna buatnya.

“Terima kasih @bettyrahmad kerana menjemput saya dan menganjurkan majlis bacaan Yasin untuk saudara kita semua di Palestin semalam.

“Majlis itu disusuli tausiyah bersama ustazah Asni Mansor. Ia adalah satu perkongsian yang indah dan saya mempunyai pengalaman berharga,” tulisnya.

Selain Mimi, selebriti lain yang turut membida lukisan-lukisan berkisahkan Palestin pada malam itu adalah pelakon Nora Danish dan Uqasha Senrose.

Majlis itu juga disertai beberapa selebriti seperti Azira Shafinaz, Ika Nabella, Aprena Manrose dan Nelydia Senrose.

Mimi, 27, dikenali seorang yang lantang bersuara isu Palestin dan Israel di media sosial.

Pelakon Cari Aku Di Syurga itu merupakan antara selebriti yang hadir di Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin yang diadakan di Bukit Jalil pada 24 Okt lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS