Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Konsert Coldplay tak sensitif derita di Palestin, kata Isma
Diterbitkan:  Nov 15, 2023 4:17 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Penganjuran konsert Coldplay yang dijadual berlangsung di Bukit Jalil, Kuala Lumpur minggu depan dianggap tidak menghormati kesedihan dialami rakyat Palestin, kata Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Menurut seorang pemimpin pertubuhan terbabit sebelum ini pun band dari Britain berkenaan sudah terpalit dengan pelbagai kontroversi termasuk membabitkan isu lesbian, gay, biseksual, transeksual (LGBT), justeru mereka wajar dihindari umat Islam.

Pengerusi Majlis Ulama Isma, Zamri Hashim, berkata ia diburukkan lagi dengan waktu Coldplay dibenarkan membuat persembahan di negara ini, iaitu semasa krisis di Gaza sedang memuncak.

Perang tersebut, kata Zamri, meragut begitu banyak nyawa termasuk umat Islam dan sangat tidak wajar konsert tersebut dilangsungkan.

“Justeru, Majlis Ulama Isma meminta agar semua umat Islam tidak terlibat dengan penganjuran konsert berkenaan.

"Kelalaian terhadap apa yang sedang berlaku di Palestin adalah suatu dosa pengabaian yang akan dipersoalkan kelak,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Sebelum ini, nama band yang dianggotai Chris Martin sebagai vokalis, Guy Berriman (basis), Jonny Buckland (gitaris), Will dan Champion (dram) itu mengundang perhatian umum kerana didakwa sebagai pejuang hak LGBT.

PAS juga pernah mendesak kerajaan untuk membatalkan konsert jelajah dunia Coldplay yang dijadualkan di Kuala Lumpur pada 22 Nov ini.

Zamri yang juga timbalan mufti Perak turut menggesa pihak berwajib membatalkan konsert berkenaan bagi menghormati umat Islam yang sedang dibom dan diserang di Gaza.

“Majlis Ulama Isma menggesa semua pihak tidak melepaskan diri daripada tanggungjawab membantu dan menolong saudara Islam di Palestin melalui semua aspek terutama doa, sumbangan dan sebarang keprihatinan kepada seluruh masyarakat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS