Memilih Deru sebagai nama baru dalam proses penjenamaan semula Caliph Buskers, Fendy tetap sedar ia bukan langkah mudah untuk dia meneruskan langkah dalam bidang seni.
Bahkan kata vokalis Deru itu, dia perlu menggiatkan lagi usaha menjadi berlipat ganda untuk mengetengahkan identiti baru itu terutama dengan keadaan dirinya sebagai orang kurang upaya (OKU).
Dia yang sebelum ini menjadi pemain gitar Caliph Buskers berkata dengan kekangan sebegitu dia berdepan dengan cabaran baru terutama tanpa anggota lain kumpulan dulu.
“Memang tak meletakkan harapan terlalu tinggi sebab saya sedar saya ini OKU.
“Dari sudut keterbatasan berbanding artis lain memang ada, tapi saya tak anggap ia satu halangan.
“Seboleh mungkin saya mahu bersaing secara sihat dengan lahirkan karya-karya yang lebih dekat dengan masyarakat ,” katanya.
Menurut Fendy lagi, tekanan paling mencabar untuk dia kini ialah perlu melakukan pelbagai tugas pengurusan muzik sendirian malah ia mencapat tahap sehingga 80 peratus.
“Kena cari arranger (penyusun muzik), buat lagu, lirik. Nak pecah otak juga dibuatnya sebelum dapat idea bernas.
“Nak buat sidang media pun kena sendiri, tapi mujurlah syarikat rakaman NSR membantu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu barunya, Antipati, di sebuah hotel di Kuala Lumpur kelmarin.
Lagu itu ciptaan sepenuhnya Fenalia, iaitu nama gabungan Fendy dan anaknya, Nur Azalea Zafirah, 8, berkisahkan pengkhianatan dan patah hati dalam perhubungan.
Bagaimanapun, bapa anak satu itu menafikan wujud sebarang isu dalaman antara dia dan anggota Caliph Buskers hingga membawa kepada munculnya Deru.
Bergantung kepada kelapangan
Sebaliknya, Fendy berkata Caliph Buskers langsung tidak menyekat mana-mana ahlinya untuk mengusahakan haluan sendiri semasa tiada aktiviti bersama yang perlu dilakukan.
“Kami memang tak ada masalah langsung. Alasan sebenar tampil sebagai Deru kerana saya terlampau mahukan ‘kebebasan.’
“Peminat tahu lirik lagu-lagu Caliph Buskers berkonsepkan ketuhanan dan kemanusiaan adalah berat, jadi saya mahu tampil dengan lagu-lagu galau (jiwang) ala band-band Indonesia seperti Kerispatih, Armada, Padi dan Peterpan," katanya.
Tambah Fendy setiap anggota Caliph Buskers ada kerjaya sendiri.
Justeru katanya jika mereka tidak bersama sebagai satu kumpulan, tiada halangan pada sesiapa yang mahu menambah pendapatan kerana setiap anggota Caliph Buskers saling menyokong antara satu sama lain.
Berkongsi lebih lanjut mengenai pemilihan nama dan konsep, Fendy berkata, ia muncul berdasarkan singkatan perkataan dimensi, entiti, revolusi dan universal.
“Selepas berfikir lama tiba-tiba terkeluar perkataan Deru sebagai menggambarkan angin yang saya fikir sesuai dengan lagu-lagu dihasilkan.
“Dalam Deru akan ada juga pemain gitar, dram dan sebagainya namun setakat ini masih tiada nama-nama khusus lagi untuk menganggotainya.
“Ia bergantung kepada kelapangan mana-mana rakan saya yang boleh membuat persembahan ketika itu,” jelasnya.