Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zizan Nin alami ‘barah’ mahu jadi pengarah filem

Pengarah dan pelakon Zizan Nin menafikan dia sedang bertarung melawan kanser ekoran tularnya imej dia berkepala botak baru-baru ini.

Sebaliknya, kata Zizan, penyakit ‘kanser’ yang dihidapi adalah perasaannya yang membuak-buak selama ini untuk menelopori bidang perfileman.

“Alhamdulillah bukan sakit kanser.

“Sebenarnya kanser yang dah parah dalam badan saya adalah 'kanser' mahu mengarah dan lebih aktif di belakang tabir,” katanya.

Zizan, 50, menjelaskan perubahan imej termasuk badannya yang susut disebabkan dia menghidapi masalah kolesterol tinggi.

Disebabkan masalah kesihatan dihidapi itu katanya dia perlu menjaga pemakanan dengan teliti.

“Gambar saya botakkan kepala itu diambil sewaktu penggambaran filem Roxy pada dua tahun lalu.

“Sebenarnya saya kena pakai rambut palsu dan itu yang menyebabkan kepala jadi gatal.

“Rimas gatal-gatal yang buatkan saya botakkan kepala terus lagi senang,” katanya pada malam tayangan perdana filem sulung arahannya, Sazali, Meor, Coco: Tetiber U-Tuber di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Ia berkisahkan tiga sahabat datang ke kota demi mengejar impian menjadi popular.

Mereka akhirnya berjaya mencapai apa yang diidamkan setelah melalui pelbagai peristiwa suka dan duka.

Antara pelakon yang menjayakan filem yang dijadual 11 November ini adalah Syazani Zikry (Sazali), Iman Zulkarnanin (Coco) dan Shahradhy (Meor).

Pemenang trofi Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia ke-20 itu juga memaklumkan, dia terkejut apabila mereka yang mengenalinya bertanyakan soal berkenaan.

Terbuka terima pandangan

Katanya, pelbagai pertanyaan daripada rakan-rakan dan keluarga yang mengambil berat dirinya.

“Saya rasa mereka ambil berat itu sebab boleh sampai timbul dakwaan.

“Misalnya keadaan Allahyarham Adibah Noor yang menyembunyikan penyakit dia hingga hujung hayatnya tak ada orang tahu.

“Disebabkan usia pun dah 50 tahun kenalah buat pemeriksaan kesihatan selalu,” katanya.

Sementara itu, mengulas filem berkenaan, Zizan berkata, dia berdepan dugaan merombak skrip asal hingga beberapa kali kerana berasakan masih ada ruang untuk mesej asal yang mengetengahkan isu-isu masyarakat dimasukkan.

Justeru, katanya, dia berharap apa yang cuba dikentengahkan boleh membuka mata penonton.

“Selain berdepan cabaran masa sebab jalani penggambaran sewaktu perintah kawalan pergerakan, saya juga perlu memastikan mesej dapat difahami dengan baik.

“Apa saja komen saya terima, tapi saya tak perlu layan kalau ia terlalu provokatif.

“Bagi saya, kalau pihak itu berasa bagus dia sajalah yang buat filem,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS