Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Neelofa sedia tamatkan kemelut berbelas tahun dengan Fazura

Usahawan selebriti Neelofa bersedia menamatkan perang dingin dia dengan aktres Fazura yang sudah berlanjutan sejak 13 tahun lalu.

Mengakui 'penat' dengan situasi itu, Neelofa berkata, dia ingin meletakkan noktah dalam salah faham itu, sekali gu membuka pintu untuk berdamai dengan Fazura.

“Sudah berbelas tahun isu ini berlaku, jadi takkan saya nak kena tunggu hingga berpuluh tahun lagi baru nak lakukan sesuatu.

“Jika saya diberi ruang dan peluang untuk berdamai dan meletakkan segalanya di belakang, saya akan sambut dengan baik.

“Kalau saya berbuat begini, saya yakin Fazura juga akan mengambil tindakan yang sama untuk kebaikan,” katanya.

Kata Neelofa, 34, usaha untuk menjernihkan keadaan itu juga boleh membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak termasuk peminat masing-masing.

Fazura

Menurut isteri pendakwah bebas Haris Ismail atau lebih dikenali PU Riz itu, dia dan Fazura sudah mempunyai keluarga sendiri justeru perlu memberi fokus pada diri masing-masing berbanding perkara tidak membawa manfaat.

“Kami berdua sudah tentu nak teruskan perniaagan dan 'memberi balik' kepada komuniti,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran air minuman Moma X Neelofa di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Kemelut kedua-dua selebriti popular itu tercetus ketika pembabitan awal Neelofa dalam industri seni.

Baru-baru ini, seorang individu dipercayai peminat tegar Neelofa didakwa menyindir Fazura dengan mendakwa artis terbabit membuka tudung dan berhibur di sebuah kelab malam di Jakarta, Indonesia.

Namun, Fazura yang ke Jakarta atas urusan perniaagan memberi respons balas dengan menafikan perbuatan itu selain berkata, tuduhan sedemikian sangat berat.

Pada majlis sama, Neelofa turut menyelar pihak yang cuba mengapi-apikan dia dan isteri Fattah Amin itu.

Katanya, perbalahan itu seolah-olah lebih memburuk dengan adanya pihak yang sering melaga-lagakan mereka.

“Saya pun dah tak larat sekiranya asyik diapi-apikan oleh orang yang kami sendiri pun tak kenali.

“Saya sendiri pun tak pernah nampak dia cari pasal, yang berkata-kata lebih itu adalah orang luar,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS