Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kumpulan rock terkenal XPDC berkongsi resepi bagaimana untuk mengelak daripada ditipu penganjur berdasarkan pengalaman mereka yang tidak pernah terkena sepanjang tiga dekad terbabit sebagai penghibur.

Kata pemain bassnya, Zuar, antara petua itu ialah setiasa bertegas selain tidak memberi muka.

“Alhamdulillah kami belum pernah kena tipu kerana soal kontrak memang harus mana-mana artis pun tegas.

“Misalnya sebelum bersetuju dengan sesuatu persembahan kami minta bayaran pendahuluan sebanyak 50 peratus dulu sebagai pengesahan yang penganjur benar-benar serius.

“Jika ada deposit, ada persembahan; tak ada deposit maka tak adalah persembahan,” katanya yang menggunakan formula itu sejak awal penubuhan kumpulan terbabit.

Kata pemilik nama penuh Azuar Md Tasi itu, setiap artis wajar memahami kandungan perjanjian dengan pihak penganjur agar mereka tidak kena tipu.

Katanya penelitian perlu dibuat lebih awal kerana jika berlaku perubahan pada kemudian hari ia hanya akan menyulitkan keadaan.

Zuar berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Search Voyage of Asia, baru-baru ini.

XPDC bakal memanaskan pentas konsert Search di Educity Sports Complex, Johor Bahru, bersempena Hari Rock Negara Edisi Selatan pada 24 dan 25 Nov ini.

Untuk rekod, XPDC yang kini berpecah dua dengan nama XPDC Kita Pengyu itu turut dibarisi Ary selaku vokalis, Jeff (gitar) dan Amy (dram).

Mengulas undangan memeriahkan acara berkenaan, Zuar berkata, mereka menerimanya atas dasar simpati selepas penganjur C&M Music Centre dipercayai ditipu orang tengah.

Justeru, atas dasar mahu membantu, kata Zuar, mereka menerima pelawaan walaupun hanya sebagai kumpulan undangan dengan band utamanya Search.

“Penganjur dah pelawa XPDC dari awal tahun tapi tak ada perkembangan.

“Tiba-tiba baru-baru ini mereka maklumkan berlaku sesuatu.

“Tapi tak mengapalah kami kumpulan yang boleh bertolak-ansur,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS