Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Masing-masing diberi gelaran King of Rhythm dan King of Tremolo, pemain gitar Search, Din dan Kid, menganggap mereka tidak pernah memburu label itu, bahkan ia seperti suatu beban.

Menurut Din, gelaran sebegitu sebenarnya tidak diperlukan kerana hanya membuat mereka berasa tidak selesa.

"Saya dan Kid tak mahu dilabel dengan apa-apa gelaran pun. Kalau ada pun, gelaran itu kami anggap tak ada apa-apa.

“Ini kerana kami berasakan ramai lagi orang lain yang memiliki bakat lebih handal daripada kami,” katanya.

Selain itu, Din atau nama sebenarnya Noordin Mohd Taib berkata, dia bimbang wujud segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan apa yang dilabel peminat.

Bagaimanapun dia tidak merujuk atau memetik nama sesiapa.

Din berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman Konsert Search Voyage of Asia di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya semalam.

Kid dan Din

Konsert di Educity Sports Complex, Johor Bahru itu diadakan sempena penganjuran Hari Rock Negara edisi Selatan pada 24 dan 25 Nov ini.

Posisi Din sebagai pemain gitar irama (rhythm) menyebabkan dia mendapat jolokan King of Rhythm dalam kalangan peminat tegar Search dan muzik rock tempatan.

Kid pula yang digelar King of Tremolo kerana caranya bermain gitar ala pemuzik terkenal antarabangsa, Eddie Van Halen, yang merevolusikan petikan gitar menggunakan whammy bar atau tremolo sejak 1970-an.

Komitmen tinggi diberikan

Din dan Kid kini menganggotai Search - yang berpecah dua - bersama Denden Gonjalez selaku vokalis, Yann (bassis), dan Min (dram)

Pun begitu, kata Din, dia dan Kid tetap mereka berterima kasih dan menghargai gelaran diberikan peminat sebagai menghargai kebolehan mereka bermain gitar.

Menurutnya, peminat meletakkan kepercayaan ke atas kredibiliti kerana menyanjung tinggi pemuzik kegemaran mereka.

“Gelaran itu bukan kami yang minta tapi diberikan peminat. Jadi sudah tentu kami hargai,” katanya.

Yann, Kid dan Din

Sementara itu, mengulas situasi Denden yang perlu berulang-alik dari Indonesia setiap kali perlu berlatih menjelang konsert, Din menjawab, ia bukan masalah besar sehingga memerlukan dia berhijrah ke negara ini.

Bahkan, kata Din, Denden sedia memberi komitmen tinggi agar persembahan mereka berjalan lancar.

“Sukar untuk Denden terus menetap di sini kerana dia mempunyai keluarga di Indonesia.

“Sebaliknya, jika ada persembahan dia akan ke Kuala Lumpur seminggu lebih awal bagi membuat persediaan bersama-sama kami.

“Ada penyanyi lain yang menawarkan diri tapi bagi kami, sudah cukup apa yang ada sekarang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS