Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ella tak rasa rendah diri pakai alat bantu pendengaran

Ratu Rock Ella berkata tidak ada apa-apa yang mengaibkan untuk menggunakan alat bantuan pendengaran pada kedua-dua telinganya sejak setahun lalu.

Kata Ella dia perlu menggunakan alat tersebut berikutan masalah pendengaran yang boleh menjejaskan kerjaya.

Menurut penyanyi Retak itu, pandangan salah sesetengah masyarakat yang menganggap penggunaan alat sokongan hanya untuk orang pekak perlu dikikis segera.

Hanya dengan itu tambah Ella kesedaran masyarakat dapat ditingkatkan sekali gus membantu individu yang mempunyai masalah sehera mendapatkan pemeriksaan lebih awal.

“Tiada sebab saya nak rasa malu atau anggap ada kekurangan kerana memakai alat bantu walaupun status saya sebagai penyanyi senior.

“Kalau peralatan ini dapat menolong saya mendengar lebih sempurna, kenapa tidak saya menggalakkan orang lain juga lebih peka dengan perubahan diri sendiri?

“Stigma alat bantuan ini hanya untuk orang pekak atau hilang pendengaran seharusnya dielakkan.

"Saya harap ia dapat memberi kesedaran kepada orang ramai termasuk dalam kalangan rakan artis yang terdedah kepada bunyi-bunyian kuat,” katanya.

Ella berkata demikian ketika ditemui pada program komuniti Global Hearing Care Centre di kompleks beli-belah di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

GHCC dengan kerjasama Ella dan Kementerian Pendidikan Malaysia menganjurkan program yang memfokuskan mengenai kesihatan pendengaran serta kelancaran pertuturan di setiap peringkat usia.

Program itu turut menyaksikan perasmian kolaborasi di antara GHCC dan Ella iaitu edisi ekslusif alat bantu dengar jenama Bernafon Alpha RockQueen x GHCC.

Kata Ella, 57, masalah pendengaran dialaminya berpunca daripada aktiviti menyelam dan terdedah kepada bunyi-bunyian yang kuat.

Sebagai penyanyi sejak hampir empat dekad, dia yang turut terkenal dengan lagu Pengemis Cinta itu mengajak rakan seperjuangan jangan berlengah jika mengesan terdapat tanda-tanda pendengaran terjejas.

“Sebelum ini, ada rakan yang bertanya mengapa saya memakai alat bantuan jadi saya menjelaskan dan beri sedikit sebanyak nasihat untuk cepat bertindak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS