Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ella syukur Konsert Jilid Akhir kutip RM30,000 untuk Palestin

Meskipun penganjuran Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota Edisi Utara pada awal mendapat tentangan segelintir pihak, ratu rock itu tetap bersyukur kerana berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM30,000 untuk disalurkan kepada Tabung Cinta Gaza Malaysia.

Menurut Ella, konsert pada 28 Oktober lalu dan dianjurkan Hitman Solutions dengan kerjasama RockQueen itu berjaya menghimpunkan kira-kira 14,000 penonton dari dalam dan luar negara.

“Alhamdulillah saya terharu dengan jumlah penonton yang ramai pada konsert saya yang lalu walaupun ada pihak mencadangkan konsert ditangguh ekoran konflik Palestin-Israel.

“Seronok rasanya dapat bantu rakyat Palestin yang sangat memerlukan.

“Saya hanya berdoa bantuan kita semua sampai ke sana,” katanya yang merancang untuk mengadakan konsert seterusnya di Sabah tidak lama lagi.

Ella juag memberitahu dia sempat cemas apabila berdepan dugaan hilang suara sepenuhnya sehari sebelum konsert yang berlangsung di Spice Arena berkenaan.

Menurut penyanyi Sembilu itu, berikutan masalah dihidapi dia juga tidak dapat menjalani raptai penuh yang berlangsung pada sehari sebelum konsert berkenaan.

“Saya betul-betul bimbang sebab sehari sebelum konsert tiba-tiba boleh tiada suara. Ini kali pertama hilang suara.

“Takkan nak batalkan konsert sedangkan peminat pula ramai dari Medan, Jakarta, Brunei dan Singapura.

“Jadi, macam-macam usaha saya buat untuk memulihkan suara termasuk baca Yasin,” katanya ketika ditemui pada program anjuran Global Hearing Care Centre (GHCC) di Bukit Jalil kelmarin.

Menurut Ella, 57, berikutan masalah itu dia terpaksa mengambil hormon penambah tenaga bawah seliaan doktor pakar yang diterbangkan dari Kuala Lumpur.

Kata Ella yang juga popular melalui lagu Mendung Tak Bererti Hujan itu, masalah hilang suara kembali pulih keesokannya, iaitu beberapa jam sebelum waktu konsert bermula.

“Saya ambil hormon penambah tenaga dari doktor pakar dan ia banyak bantu saya dari segi tenaga dan hormon.

“Saya dimaklumkan doktor, punca hilang suara kesan gangguan asap jerebu.

“Alhamdulillah, dengan bantuan pakar, saya boleh buat persembahan pada malam itu dengan lancar,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS