Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Bakal jadi calon, Once dekati pekerja migran Indonesia di KL

"Aku ingin menjadi mimpi indah…”, antara lirik lagu Dealova nyanyian Once Mekel. Bukan sekadar mimpi, bekas vokalis band terkenal Indonesia, Dewa 19 itu menyimpan hasrat untuk menjadi ahli Parlimen dan berkhidmat buat warga Indonesia.

Semalam, Once memperkenalkan diri secara rasmi sebagai calon Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDIP) dalam sesi bersama peminat - yang rata-ratanya warga republik itu - di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Menurut Once, antara pengundinya pada Pemilihan Umum Indonesia tahun depan termasuk lebih sejuta pekerja migran Indonesia di seluruh Malaysia.

"Saya mengerti bahawa ada beberapa masalah timbul daripada pekerja migran.

"Namun yang paling penting adalah kita harus mengurus penghantaran pekerja-pekerja migran Indonesia, sesuai aturan yang ada.

"Jangan sampai mereka keluar menggunakan jalur-jalur 'liar', tidak selamat atau tidak diawasi," kata Once.

Untuk rekod, Once, 53, mendaftar sebagai calon pilihan raya legislatif di Daerah Khas Ibu Kota Jakarta II. Daerah pemilihan itu meliputi kira-kira 4.3 juta pengundi luar negara, dengan sebahagian besarnya di Malaysia.

Menurut Once, antara program dijanjikan gandingan calon presiden dan wakil presiden yang dikemukakan PDI-P, Ganjar Pranowo dan Mahfud MD adalah untuk mengubah nasib pekerja migran Indonesia.

"Pak Ganjar menjanjikan program digitalisasi (data).

"Kita harap program akan berjaya termasuk untuk pekerja Indonesia di Indonesia dan luar negara, agar status akan lebih terlindung," katanya lagi.

Tampil bersahaja, Once atau nama asalnya Elfonda Mekel berkata kehadirannya di acara anjuran kumpulan masyarakat Indonesia Posko Pemenangan Rakyat (Pospera) ini bukan untuk membuat persembahan.

Once berkata kehadirannya di Kuala Lumpur kali ini untuk membawa sokongan bagi pasangan Ganjar-Mahfud yang menurutnya "calon paling baik, ideal dan rasional".

Namun enggan mengecewakan lebih 1,000 hadirin, dia sempat membawakan dua lagu secara akustik - Ku Cinta Kau Apa Adanya dan Dealova.

Acara yang berlangsung kira-kira lima jam ini turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan Indonesia, termasuk pencak silat khas Madura dan tarian adat dari Nusa Tenggara Timur.

Pusingan pertama Pemilihan Presiden Indonesia 2024 akan berlangsung pada 14 Februari tahun depan, selain pemilihan anggota legislatif di 84 daerah pemilihan.

Dalam pemilihan presiden, Ganjar-Mahfud akan berhadapan dua pasangan, Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar dan Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS