Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Krisis Gaza: Pemimpin dunia terlibat dalam jenayah ini, kata Angelina
Diterbitkan:  Nov 2, 2023 3:49 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Selepas dikecam sering memberi kenyataan bersifat neutral (memilih jalan selamat) berhubung konflik Palestin-Israel, akhirnya pelakon Angelina Jolie bersuara memberikan sokongan kepada penduduk Gaza yang ditindas.

Kata Angelina, tindakan pemimpin dunia yang tidak menyokong genjatan senjata di bumi Gaza boleh disifatkan sebagai perbuatan jenayah.

“Keengganan menuntut gencatan senjata dan menyekat usul Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta membenarkan kezaliman terhadap satu pihak (Palestin); pemimpin dunia terlibat dalam jenayah ini,” katanya.

Angelina antara artis yang terkenal kerana pembabitannya dengan misi kemanusiaan serta menjadi duta PBB berkongsi pandangan itu selepas Zionis bertindak zalim dengan mengebom sebuah kem pelarian di Gaza baru-baru ini.

Pelakon itu mengiringi hantarannya dengan memuat naik gambar kem pelarian Jabalia di Gaza yang diserang Israel melalui operasi udara selama dua hari berturut-turut.

Serangan itu setakat ini mengorbankan lebih 50 orang dan mencederakan kira-kira 150 yang lain.

Baru-baru ini, pelakon dan usahawan Nur Fazura memberi teguran buat selebriti antarabangsa itu yang memilih jalan neutral berhubung konflik Israel-Palestin.

Artis anggap berani

Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin menasihatkan pelakon filem Girl, Interrupted itu agar usah takut bercakap perkara yang benar mengenai kesengsaraan yang dialami rakyat Palestin.

Angelina yang juga penerbit In The Land of Blood and Honey itu turut meluahkan rasa simpati susulan tragedi yang mencederakan serta mengorbankan banyak nyawa termasuk kanak-kanak dan golongan wanita.

“Ini adalah pengeboman yang disengajakan terhadap penduduk yang terperangkap dan tiada tempat untuk melarikan diri.

“Gaza menjadi penjara terbuka hampir dua dekad dan kini ia menjadi kubur besar-besaran. Sebanyak 40 peratus yang terbunuh adalah kanak-kanak tidak berdosa.

“Ketika dunia memerhati, dengan sokongan daripada beberapa negara, berjuta-juta rakyat Palestin dihukum tanpa perikemanusiaan sementara mereka dihalang daripada makanan, bekalan ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan terhadap undang-undang antarabangsa,” katanya.

Fazura

Susulan kenyataan terbuka itu, beberapa selebriti tempatan menzahirkan pujian terhadap Angelina kerana berani menyuarakan isi hatinya selain memberikan tanda hormat kerana ‘berjuang’ untuk Palestin.

Mereka antara yang bersuara adalah Fazura, Catriona Ross, Uyaina Arshad, Fynn Jamal dan Nadia Nasimuddin.

“Akhirnya, itu adalah Angelina yang saya sayang dan hormat. Terima kasih,” kata Fazura.

“Akhirnya... terima kasih kerana bersuara.

"Sudah lama saya menunggu untuk kamu bersuara kerana kamu adalah sumber inspirasi saya dalam menjadi seorang yang berani dan vokal. Terima kasih,” kata Catriona.

Uyaina pula menulis: “Terima kasih Angie, terima kasih kerana menjadi suara untuk mereka yang disenyapkan. Terima kasih kerana menggunakan platform kamu untuk bercakap isu Palestin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS