Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Alhamdulillah, PM dah dedahkan siapa yang mengugut'
Diterbitkan:  Oct 31, 2023 5:06 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Kelihatan mengikuti perkembangan krisis di Palestin secara dekat, pelakon Amerul Affendi hari ini bersyukur apabila Anwar Ibrahim mendedahkan siapakah pihak yang memberi tekanan kepadanya.

Kata pelakon One Two Jaga itu, dengan pendedahan dibuat perdana menteri di parlimen pagi tadi, tiada lagi ruang untuk pihak lain melemparkan fitnah.

Tidak cukup dengan itu, Amerul juga menanda akaun presiden AS untuk menyatakan sokongannya kepada Anwar.

"Alhamdulillah akhirnya @anwaribrahim dedahkan siapa yang mengugut.

"Maka tertutuplah pintu fitnah yg terbuka sebelum ini kerana (perdana menteri) enggan memberitahu siapa," ciapnya di media sosial X.

Isu gangguan ke atas Malaysia mula ditimbulkan perdana menteri semasa dia berucap di proram Malaysia Bersama Palestin di Bukit Jalil pada 24 Okt lalu.

Pada awalnya Anwar tidak mendedahkan secara khusus siapakah pihak luar yang memberikan tekanan tersebut.

Bagaimanapun hari ini ahli parlimen Tambun itu mendedahkan antara pihak yang dimaksudkannya itu ialah Washington yang setakat ini sudah menghantar dua notis rasmi - dikenali sebagai emarche (tatatindak) - untuk membantah pendirian kerajaan.

Melanjutkan ciapannya, Amerul juga menghantar mesej kepada Presiden AS Joe Biden untuk menyatakan dia bersama dengan Anwar.

"@POTUS we stand with our prime minister and will defend him at all cost (President of the United States, kami berdiri bersama perdana menteri kami dan akan mempertahankannya dengan apa cara sekali pun)," ciapnya.

Amerul juga meminta agar tidak ada mana-mana anggota kabinet bertindak bercanggah dengan pendirian Anwar.

"Jangan menghalang dan mengugut kami untuk mengutuk kekejaman tidak berperikemanusian yang dilakukan oleh Zionis setanyahu serta sekutunya terhadap saudara-saudara kami di Palestin.

"Jika kalian masih menghalang dan mengugut, kalian adalah pembelot tanah air ini!" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS