Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Once terjun ke dunia politik
Diterbitkan:  Oct 30, 2023 3:55 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Mantan vokalis Dewa 19, Once Mekel, adalah antara barisan selebriti yang menawarkan diri sebagai calon pada pilihan raya umum di Indonesia yang dijadual berlangsung Feb tahun depan.

Tampil mewakili Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P) dia menawarkan diri untk mewakili kawasan Daerah Khas Ibukota Jakarta II dan nasibnya akan ditentukan oleh kira-kira 4.3 juta pengundi.

Menjelaskan keputusannya, Once berkata, sudah begitu banyak masanya dihabiskan untk menikmati hidup bersama muzik.

“Justeru saya fikir sekarang adalah saatnya saya untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat melalui pembabitan dalam proses demokrasi dan politik," katanya dalam wawancara bersama media Indonesia.

Bagaimanapun, penyanyi Dealova itu menafikan akan meninggalkan dunia seni untuk memberi fokus dalam bidang politik semata-mata selepas ini.

Once atau nama asalnya Elfonda Mekel dijangka berdepan saingan sengit merebut satu dari tujuh kerusi dalam daerah pemilihan Jakarta II.

Baru-baru ini Once, 53, turut menyatakan sokongan kepada pasangan calon presiden dan naib presiden Indonesia yang dikemukakan PDI-P iaitu Ganjar Pranowo dan Mahfud MD.

Media juga sebelum ini melaporkan terdapat 125 calon yang bertanding di daerah DKI Jakarta II, termasuk selebriti, bekas menteri, ahli akademik dan pemimpin parti politik.

Berbeza dengan sistem pilihan raya di Malaysia, semua 18 parti bertanding di Indonesia akan meletakkan lebih daripada seorang calon bagi setiap daerah pemilihan, masing-masing dengan jumlah kerusi berbeza.

Untuk layak ke parlimen, sesebuah parti harus mendapat sekurang-kurangnya empat peratus dari keseluruhan jumlah undi di 84 daerah pilihan raya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS