Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Badrul Muhayat meninggal dunia
Diterbitkan:  Oct 28, 2023 2:36 PM
Dikemaskini: 6:36 AM

Pelakon Badrul Muhayat disahkan meninggal dunia dalam tidur di sebuah homestay di Pulau Pinang pagi tadi.

Badrul atau nama penuhnya Badrul Muhayat Ahmad Jailani meninggal dunia pada usia 55 tahun.

Isteri Allahyarham, Norhayati Zulkapli berkata jenazah suaminya akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Johor Bahru.

“Jenazah arwah akan dibawa pulang ke Johor Bahru.

“Maaf, saya tidak boleh bercakap panjang kerana sedang membuat laporan di balai polis,” katanya dipetik BH Online.

Norhayati berkata pemergian pelakon filem Harry Boy dan Azizah The Legend itu hanya disedari kira-kira jam sembilan pagi selepas dia cuba mengejutkan Allahyarham untuk berniaga di Karnival Uda, Jalan Baru Perai, Pulau Pinang.

Sementara itu, pelakon Anne Abdullah berkata dia dimaklumkan berita pemergian Badrul melalui teman artis, Aida Aris yang berada di tempat kejadian.

“Saya difahamkan isteri arwah mengejutnya untuk bersiap-siap ke tapak karnival kerana berniaga di sana.

“Tapi, arwah tak memberikan respon dan badannya juga didapati sejuk. Jadi, mereka memanggil ambulans dan Badrul disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurut Anne lagi, keluarga Badrul sudah pun dimaklumkan mengenai pemergiannya dan meminta agar jenazah dibawa pulang ke Johor Bahru untuk dikebumikan.

Badrul meninggalkan seorang balu, Norhayati yang baru dinikahi pada 18 April lalu.

Allahyarham turut meninggalkan dua cahaya mata, masing-masing berusia 14 dan 16 tahun hasil perkahwinannya yang terdahulu.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Badrul berkata dia berhajat untuk mengadakan majlis persandingan namun terpaksa menangguhkan hasrat berikutan terkekang dek jadual kerja.

Arwah ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya yang berjudul Cerana Biduk Bu Merah di sebuah kompleks beli-belah pada 9 Oktober lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS