Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Yuletta seru pempengaruh menuntut dulu elak 'kacau daun' dunia seni

Personaliti TikTok Yuletta Yucha menyeru semua pempengaruh supaya berusaha mendalami ilmu berkaitan atau mendapatkan tunjuk ajar mentor sebelum melebarkan sayap dalam industri seni suara.

Jika tidak katanya, tindakan hadir tanpa bakat boleh merosakkan peluang, malah menutup periuk nasi pempengaruh lain yang memiliki kemahiran sebenar.

“Saya bukan orang yang layak untuk komen isu ini. Tapi kalau dah ditanya, pada saya memang ramai lagi yang berbakat, cuma mereka tak diberi peluang untuk diketengahkan.

“Jadi jangan rosakkan periuk nasi mereka yang benar-benar boleh menyanyi,” katanya kepada Malaysiakini.

Menyedari dirinya juga pernah menjadi sasaran kecaman apabila membuat persembahan secara langsung, Yuletta - atau nama sebenarnya Mas Noor Nabila Syafiqa - berkata sejak itu dia sentiasa berusaha memperbaiki diri sendiri.

Yuletta, 28, menjelaskan selain belajar meningkatkan keupayaan vokal, dia juga melabur agar dapat merealisasikan impian memiliki studio rakaman sendiri di rumah.

“Syarat untuk kekal relevan ialah seseorang pempengaruh kena rajinkan diri, laburkan duit dari bawah macam saya buat. Cecah 'lima angka' juga nak hasilkan studio sendiri,” jelasnya.

Yuletta berkata demikian ketika diminta mengulas kehadiran segelintir pempengaruh media sosial yang tidak mempunyai bakat seni tetapi dengan mudah ‘diangkat’ dalam industri.

Dikecam tapi tetap bersyukur

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan penyanyi Usop mengakui dia tidak berpuas hati apabila ada stesen radio membuka peluang kepada pempengaruh media sosial yang tidak berbakat untuk meneroka peluang sebagai artis.

Katanya dia sendiri perlu berdepan pengalaman sukar sehingga boleh bergelar penyanyi dan mencipta nama sebelum ini.

Mengulas mengenai perkembangan kariernya, Yuletta yang juga beranak dua dari Sungai Petani, Kedah itu berkata, dia dalam proses untuk melahirkan single pertamanya.

Menurut Yuletta, single berentak rancak itu disampaikan dalam gbungan loghat Kedah dan Kelantan, manakala lagu itu dihasilkan melalui projek bersama Faithful Music.

“Single ini mencabar juga sebab ia genre lagu Melayu yang tak selalu saya nyanyikan berbanding lagu saduran seperti sebelum ini.

“Biasanya saya nyanyikan lagu dalam bahasa lain seperti Hindi, Tamil atau Portugis,” katanya.

Untuk rekod, Yuletta mula bergiat aktif menyanyikan lagu-lagu saduran di TikTok sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19 kira-kira tiga tahun lalu.

Karya yang melonjakkan nama personaliti itu di TikTok adalah lagu Thailand dalam versi Kelantan berjudul Saye Kat Ku, Cinto Kat Ku.

Video lagu itu mencatat 5.2 juta tontonan di aplikasi berkenaan.

Mengulas cabarannya untuk bergelar penyanyi, Yuletta tidak menafikan memang dia banyak menerima kecaman terutama apabila sering menyanyikan lagu-lagu saduran.

Namun, katanya, di sebalik kecaman tersebut dia bersyukur kerana masih ramai peminat yang memberikan kata-kata sokongan dan respons positif terhadap persembahannya.

“Ramai marah kerana mereka anggap saya ambil lagu orang apabila nyanyikan lagu-lagu penyanyi lain.

“Tapi mereka tak tahu, saya sebenarnya secara tak langsung beri sokongan dan melonjakkan lagu itu di TikTok,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS