Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Syarikat pengurusan artis Indonesia dakwa terima aduan isu bayaran
Diterbitkan:  Oct 26, 2023 3:58 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Syarikat pengurusan yang menaungi seorang penyanyi terkenal Indonesia mendakwa mereka menerima aduan berhubung isu pembayaran tertunggak sebuah konsert yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat terbabit berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan bayaran sudah pun dilunaskan lebih awal kepada pihak penganjur.

Dia yang turut bertindak selaku penganjur bersama konsert berkenaan berkata, bayaran pertama dibuat sebelum berlangsungnya promosi acara tersebut.

“Pihak penganjur meminta saya mengeluarkan kos awal, justeru sejumlah wang dimasukkan ke akaun pihak tersebut pada April 2023.

“Kalau dikira, sepatutnya kos awal dan kos promosi adalah yang paling tinggi. Namun, sekitar Mei, saya dimaklumkan bayaran pendahuluan untuk beberapa pihak dari Malaysia masih belum dilunaskan.

“Bayaran hanya dibuat oleh pihak penganjur sekitar Jun lalu. Saya tak suka jika ada bayaran yang tertunda dan kalau begitu jadinya, reputasi penyanyi saya tercemar,” katanya.

Menurut CEO itu lagi, selepas promosi dan sidang akhbar berakhir sekitar Julai lalu, dia masih menerima panggilan daripada banyak pihak yang bertanyakan tentang bayaran mereka.

Boleh mencalarkan imej

Katanya, kos ditanggung oleh syarikatnya termasuk bayaran untuk artis-artis Malaysia yang turut menjayakan konsert tersebut.

Justeru, dia terpaksa melakukan siasatan sendiri untuk mengetahui situasi sebenar.

“Apabila kami meminta penyata bank dan dokumen daripada rakan penganjur bersama untuk memastikan bayaran telah dilunaskan, permintaan kami tak dilayan.

“Isu tersebut membuatkan kami memendam rasa hampir sebulan sebelum konsert tersebut berlangsung. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

“Ini kerana syarikat kami bertanggungjawab menguruskan konsert penyanyi itu apatah lagi konsert diadakan di Malaysia yang selama ini mempunyai hubungan dua hala yang baik dengan Indonesia,” katanya.

Susulan itu, kata CEO berkenaan, mana-mana penganjur acara dari Indonesia yang mahu berkolaborasi atau bekerjasama dengan penganjur acara di Malaysia perlu mengambil iktibar daripada apa yang dilalui oleh syarikatnya.

“Ia satu pengalaman yang menjadi pengajaran buat semua kerana sebagai penganjur acara, biarlah telus.

“Sewaktu sidang media diadakan sebelum itu pun, nama kami seolah-olah tenggelam sedangkan pihak juga dipertanggungjawabkan menganjur konsert berkenaan.

“Jangan berbuat sesuatu yang boleh mencalarkan dan menjejaskan reputasi mana-mana pihak,” katanya sambil menambah, syarikat itu juga milik penyanyi berkenaan.

Namun, CEO terbabit tidak menafikan konsert berkenaan meninggalkan kenangan manis buat peminat tegar penyanyi terbabit yang datang dari segenap pelusuk tanah air dan Brunei, Singapura serta Indonesia.

Katanya, konsert itu mampu menghadirkan persembahan berkualiti kerana didukung tenaga produksi yang kukuh selain kekukuhan syarikatnya dari aspek reputasi dan kewangan.

“Ini kerana kerja berpasukan work daripada pihak pengurusan dan produksi harus diberi pujian. Pasukan ini mampu menterjemahkan sebuah persembahan konsert dalam erti kata sebenar, bukan persembahan yang biasa-biasa.

“Konsert itu sebenarnya turut mencatat sejarah tersendiri bagi penyanyi yang bersuara emas terbabit kerana memberikan persembahan berskala besar di Kuala Lumpur,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS