Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Amerul hargai suara Syerleena, bengang sikap 'bingai seorang menteri'
Diterbitkan:  Oct 25, 2023 4:31 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Pelakon Amerul Affendi memuji kelantangan Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid dalam menyuarakan isu Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Katanya ahli politik itu membangkitkan isu berkenaan ketika pihak yang sepatutnya bertindak sekadar sibuk "menjilat" saja.

“Apabila yang sepatutnya bersuara tak bersuara. Lebih kepada nak bersuara benda-benda tengah in dan sibuk menjilat saja.

“Itulah bingainya seorang pak menteri yang diberi amanah dan kemudian dia lalai," katanya di Twitter.

Kenyataan Amerul itu diiringi sebuah klip video memaparkan Syeerlena membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat pada 23 Okt lalu.

Kata Syerleena, kelompongan skim wajib tayang yang dikuatkuasakan pada 2005 mengakibatkan berlaku kekurangan regresif terhadap pembangunan industri filem tempatan.

Menurut wakil DAP itu lagi, pihak yang mengelola industri perfileman negara sepatutnya memastikan filem-filem tempatan ditayangkan di pawagam untuk sekurang-kurang selama dua minggu.

Perlu rombak skim

Namun kata Syerlena, pihak pempamer memperuntukkan waktu tayangan yang tidak masuk akal untuk filem tempatan seperti pagi atau lewat malam pada hari bekerja.

Lebih buruk tambahnya, sesetengah waktu tayangan untuk filem tempatan dijadualkan terlalu dekat dengan waktu solat, seakan-akan ingin menghalang penonton dari datang menyokong filem-filem berkenaan.

Syerleena turut memberi contoh filem Walid dan Pagari Bulan yang diperuntukkan hanya ada satu tayangan di setiap pawagam selepas hanya seminggu berada di pawagam.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan penerbit Pagari Bulan, Sharifah Shahora, meluahkan kekesalannya berhubung tindakan beberapa pawagam mengehadkan jumlah tontonan ke atas filem berkenaan.

Selain itu, pengarah dan pelakon, Afdlin Shauki meminta kerajaan merombak semula skim wajib tayang supaya ia memberi kelebihan waktu tayangan kepada penerbit tempatan.

Katanya, langkah itu juga bagi mengelakkan penerbit menanggung kerugian.

“Kita nak elak pempamer bersikap berat sebelah atau favouritism iaitu mereka nak jual filem yang bawa untung saja buat mereka. Nanti panggung akan tayang filem-filem yang sama saja.

“Skim Wajib Tayang Finas perlu dirombak agar filem-filem tempatan dapat lebih perlindungan dan diberikan lebih tempoh untuk tayangan mengikut budi bicara pempamer,” katanya.

“Terima kasih YB Syerleena kerana bersuara buat kawan-kawan dalam industri,” kata Amerul mengakhiri ciapan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS