mk-logo
Seni & Hiburan
Gemencheh Boys: Cikgu bimbing '6 jahanam' jadi bintang kriket

Kisah penuh inspirasi mengenai sekumpulan pelajar ‘nakal’ dari sekolah Kebangsaan Felda Bukit Rokan Utara, Negeri Sembilan yang mencipta nama di persada kriket antarabangsa dipaparkan dalam filem Gemencheh Boys yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 26 Okt ini.

Filem ini berdasarkan kisah benar diceritakan pemain kriket negara, Shafiq Sharif, yang pernah mewakili Malaysia pada kelayakan Piala Dunia Kriket 2019 dan memenangi pingat emas di Sukan SEA 2017.

Gemencheh Boys merupakan buah tangan Jason Chong (gambar, bawah) dan Eric Ong, manakala skrip filem itu pula digarap oleh Chong dan Sky Khor.

Ia mengisahkan tentang enam murid sekolah rendah yang digelar "enam jahanam", yang kehidupan mereka mula berubah selepas diperkenalkan dengan permainan kriket oleh salah seorang guru mereka.

Chong dan Ong pernah memenangi Cerita Asal Terbaik untuk filem Adiwiraku di Festival Filem Malaysia pada 2017.

Adiwiraku juga mengisahkan tentang seorang guru sekolah di kawasan luar bandar, Cheryl Ann Fernando, yang menjadi sumber inspirasi kepada pelajarnya untuk berjaya dalam bidang akademik.

Ketika ditemu bual Malaysiakini, Chong berkata, selepas Adiwira, dia giat mencari ilham untuk menghasilkan filem seumpama itu.

Kasih sayang guru

"Saya ingin meneruskan legasi dan semangat Adiwiraku, kisah 'orang biasa' yang luar biasa - wira yang tidak didendang.

"Untuk itu saya telah menemu bual beberapa orang," katanya.

Sehinggalah dia menerima panggilan Shahril Hamzah, yang memberi saranan agar Chong menemui Syafiq- seorang pemain kriket.

Dari situlah Syafiq menceritakan kisah mengenai seorang guru bernama Azman Abd Aziz kepada mereka.

Kata Chong, menerusi cerita Syafiq, dia dapat melihat betapa tebalnya rasa kasih dan penghormatan yang diberikan pemain kriket itu kepada gurunya.

"Saya tertarik dan kagum, bagaimana Cikgu Azman, seorang guru yang tidak tahu apa-apa mengenai kriket, dapat melahirkan 10 pemain kebangsaan,” katanya yang berasa tertarik dan menghabiskan berjam-jam mendengar cerita mengenai cikgu Azman.

Mendidik melalui sukan

"Tidak lama selepas itu, kami datang ke Gemencheh untuk bertemu Cikgu Azman. Apabila saya bertemu dengannya, pada ketika itulah saya pasti - kita dah ada filem untuk dihasilkan,” kata Chong.

Sementara itu, Malaysiakini turut berkesempatan mewawancara cikgu Azman Abd Aziz, 57, insan sebenar di sebalik watak utama dalam filem Gemencheh Boys.

Azman (gambar, bawah) berasal dari Gemencheh dan mengajar di Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Rokan Utara sebelum berpindah ke Sekolah Kebangsaan Datuk Abdullah di daerah sama.

Ketika ditemui Malaysiakini, Azman sedang membantu mempromosikan filem itu bersama pengarah filem tersebut di Astro.

"Saya masih mengajar murid-murid bermain kriket," kata Azman, yang akan bersara dari dunia perguruan kira-kira dua tahun lagi.

Kata Azman, ketika diarahkan oleh guru besar sekolah di Sekoleh Kebangsaan Felda Bukit Rokan Utara untuk mengajar kriket kepada para pelajarnya, dia langsung tidak tahu menahu mengenai sukan berkenaan.

"Itu pada tahun 1997. Saya menonton beberapa permainan pada video player dan mula mengajar murid saya," kata Azman yang kini peminat tegar pasukan kriket India dan Australia.

Azman berkata dia percaya sukan dapat membantu mengubah sahsiah seseorang pelajar dan berasa bangga apabila ramai anak muridnya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti serta mendapat kerjaya yang baik.

Mengenai Gemenceh Boys, Azman berkata dia cukup seronok menonton filem tersebut.

“Paling menarik adalah babak ketika di mana mereka sedang ketinggalan, mereka bangkit semula.

“Saya juga suka mengatakan bahawa ia adalah kisah yang penuh inspirasi,” katanya.

Azman masih berhubung dengan lima daripada muridnya yang dipaparkan dalam filem itu tetapi tidak mengetahui keberadaan salah seorang daripada mereka.

"Jika kita benar-benar ikhlas dalam apa yang kita lakukan, pelajar kita akan tetap mengingati kita," katanya lagi.

Filem Gemencheh Boys dibintangi Pekin Ibrahim serta enam pendatang baru iaitu Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq.

Pengarah Chong bersama pelakon Pekin Ibrahim yang membawa waktak Cikgu Azman.

Dia juga mengakui menghadapi cabaran dalam menghasilkan filem berkenaan memandangkan sukan kriket tidaklah sepopular bola sepak atau badminton di Malaysia.

Katanya, Finas memberi dukungan sejak awal, manakala sokongan daripada penerbit eksekutif Siva Ananthan membantu menjadikan karya ini suatu realiti.

Chong juga melahirkan rasa terharu apabila Shafiq dan Cikgu Azman menaruh kepercayaan kepada pengarah itu untuk mengangkat kisah mereka ke layar perak.

“Kami juga mendapat banyak sokongan daripada Cricket Malaysia dan orang kampung ketika melakukan penggambaran di Gemencheh. Sokongan ini memberi kami banyak dorongan dan keyakinan untuk terus maju. Saya bersyukur,” katanya.

Chong menjelaskan 70 hingga 80 peratus babak filem itu adalah berdasarkan kejadian sebenar, termasuklah mengenai perkara-perkara kecil - misalnya handle basikal Shafiq yang diubahsuai dari stereng van.

“Basikal itulah yang biasa ditunggangi Shafiq pada zaman kanak-kanaknya, yang diubah suai oleh ayahnya,” katanya.

Menurutnya, individu sebenar yang dipaparkan dalam filem itu memberikan maklum balas positif selepas menonton filem tersebut.

“Saya melihat ada antara mereka yang diam-diam mengesat air mata ketika tayangan kali pertama.

“Saya amat berterima kasih kepada mereka kerana memberi kami kepercayaan dan sokongan,” katanya.

Chong juga ditanya mengenai harapannya kepada peminat yang akan menonton filem tersebut.

"Sesiapa sahaja mampu memberi pengaruh positif dalam kehidupan orang lain, oleh itu jadilah orang yang boleh memberi pengaruh positif itu.

"Kisah Cikgu Azman sangat menyentuh perasan kerana dia tidak pernah meminta balasan. Dia mengambil berat mengenai pelajarnya dan apa yang dia mahu ialah mereka berjaya dan cemerlang dalam hidup," katanya lagi.

Gemencheh Boys mendapat sokongan Persatuan Kriket Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan.

Ini termasuk kerjasama daripada Majlis Kriket Antarabangsa (ICC), Jelajah Trofi Piala Dunia Kriket Lelaki ICC, yang pertama kali diadakan di Malaysia pada tahun ini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS