Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
PTVM idam kebebasan berkarya sentuh isu rasuah orang politik

Perdana Menteri Anwar Ibrahim diseru melakukan reformasi industri kreatif khususnya mengubah Dasar Garis Panduan Penapisan Filem supaya penerbit tidak rasa terkekang untuk menghasilkan karya yang menyentuh kegiatan rasuah dan salah guna kuasa dalam politik.

Kata Presiden Persatuan Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli, kerajaan Madani harus menyediakan acuan dan hala tuju sendiri yang jelas sekiranya ingin mewujudkan persekitaran yang kondusif.

Bagi Jurey, langkah itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan yang konsisten dengan usaha memerangi rasuah di negara ini.

“PMX (Anwar) nak perangi rasuah tapi stesen televisyen pula tak berani siarkan drama berkaitan rasuah.

"Jika kerajaan mahu melawan rasuah, kenalah ada dasar terbuka. Walk the talk, no more lip service," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Jurey pada masa sama PTVM menaruh harapan yang tinggi kepada Anwar dalam impian mereka melihat wujudkan reformasi dalam industri kreatif.

Untuk itu katanya kerajaan perlu mendengar kritikan dan menjalankan amanah dengan baik dalam membantu rakyat.

“Drama atau filem kita asyik berkisar kisah cinta, hantu, kahwin cerai, tapi tak ada kisah menteri, pegawai polis atau 'jerung' makan rasuah.

"Keadaan itu sangat jauh berbeza berbanding industri filem India, misalnya, yang begitu berani dan lantang melontarkan kritikan," katanya.

Mengikut Garis Panduan Penapisan Filem, pada bahagian keselamatan dan ketenteraman awam ada disebut, penggiat seni perlu mengambil kira aspek kesesuaian sesebuah filem.

Bimbang rugi sebab diharamkan

Antara lain mereka tidak boleh menyindir dan mempersenda pemimpin atau kerajaan sehingga boleh menimbulkan ketegangan dalam negara.

Jurey menjelaskan, disebabkan badan kawal selia seperti Lembaga Penapis Filem yang memantau dasar tersebut, kebanyakan penerbit tidak berani tampil dengan penceritaan berkisahkan isu rasuah.

Katanya, mereka tidak mahu mengambil risiko kerana takut karya tersebut diharamkan, sekali gus menyebabkan kerugian.

“Saya rasa sepanjang jadi penerbit, tak ada filem atau drama yang menunjukkan salah guna kuasa dalam kalangan ahli politik dan badan beruniform yang berpangkat besar.

"Apa yang ada mungkin melibatkan 'ikan bilis' saja," katanya.

Menurut Jurey lagi semua penerbit perlu mengikut garis panduan yang dikeluarkan, selain terikat dengan syarat pihak berkuasa lain.

Misalnya kata Jurey penerbit juga perlu mengikut garis panduan polis, tentera dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

“Sekiranya tak patuh mana-mana dasar, maka karya mereka tak boleh ditayangkan atau kena potong babak tertentu, atau lebih teruk ia diharamkan,” katanya.

Jurey juga mendakwa ada "tangan ghaib" yang tidak mahu isu tersebut menjadi bahan karya dalam kalangan penggiat seni kreatif.

“Hakikatnya, ada tangan ghaib yang tak membenarkan. Maka, kerajaan Madani perlu berubah,” tegasnya tanpa menjelaskan lebih lanjut dakwaan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS