Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Usaha mereformasikan industri kreatif akan diteruskan - Fahmi
Diterbitkan:  Oct 15, 2023 2:04 PM
Dikemaskini: 6:04 AM

Usaha mereformasikan industri kreatif akan diteruskan, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi dalam ciapan di X hari ini berkata beberapa pandangan daripada penggiat seni telah diterjemahkan melalui Belanjawan 2024 dan itu hanyalah permulaan.

Beliau memasukkan petikan akhbar yang bertajuk ‘Inisiatif Belanjawan 2024 rancak peluang pekerjaan’ menggambarkan Presiden Seniman Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi, berterima kasih kepada Fahmi dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kerana mendengar serta menunaikan pelaksanaan segala yang diusulkan penggiat seni.

“Ini yang terbaik setakat ini selepas aduan demi aduan dibuat kepada menteri berbeza sebelumnya,” kata Zed Zaidi dalam petikan tersebut.

Fahmi berkata Zed Zaidi antara yang kritikal dengan beliau di awal pelantikannya sebagai Menteri Komunikasi dan Digital.

“Melalui sesiTownhallyang diadakan sejurus saya dilantik sebagai Menteri, saya dapat peluang mendengar sendiri pandangan dan cabaran anak seni, termasuk daripada Zed,” katanya.

Pada 16 Mac lalu, industri seni telah mengadu kepada Fahmi tentang duti hiburan 25 peratus yang terlalu tinggi.

“Respons saya, ini akan dibincangkan bersama Kementerian Kewangan,” katanya.

Jumaat lepas, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pengurangan duti hiburan kepada 10 peratus (artis antarabangsa) dan 0 peratus (artis tempatan).

Fahmi berkata dalam tempoh 10 bulan di Kementerian Komunikasi dan Digital, pelbagai cadangan yang diterima dan pelbagai masalah didengari.

“Tidak mudah untuk tunaikan semua, tapi saya perlu mulakan. Alhamdulillah, permintaan pemain industri seni ditunaikan. Duti hiburan dikecualikan bagi persembahan artis tempatan.

“Insya-Allah satu demi satu permasalahan industri ini akan saya selesaikan dengan mandat yang diamanahkan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS