Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengerusi kampung Orang Asli buat laporan polis isu ‘fesyen Mah Meri’

Orang Asli Mah Meri, Sungai Bumbun di Pulau Carey, Selangor membuat laporan polis susulan inspirasi koleksi baru Anuar Faizal yang menggunakan topeng semangat masyarakat itu.

Mereka berkata apa yang berlaku ibarat mempersendakan tradisi turun temurun mereka.

Menurut pengerusi kampung itu, Azman Sap, laporan dibuat di Balai Polis Telok Panglima Garang, Daerah Hulu Langat pada jam satu tengah hari semalam.

“Saya buat laporan selepas ternampak posting Anuar di Instagram dan mendapati beberapa model lelaki menggayakan topeng Mah Meri. Kami cukup marah dengan tindakannya.

“Selain itu, model-model juga didapati dalam keadaan separa bogel. Setiap topeng semangat mempunyai fungsi tertentu dan tak boleh disentuh atau dipermainkan oleh orang di sekelilingnya,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Azman, topeng semangat adalah simbol penting dan lambang kebudayaan masyarakat mereka, justeru, perlu mendapatkan keizinan tok batin sebelum sesiapa pun memakainya.

“Sepatutnya pereka fesyen itu harus mendapatkan kebenaran daripada tok batin atau mana-mana anggota jawatankuasa kampung sebelum memperagakan koleksinya kepada umum,” jelasnya.

Selain Azman, turut hadir ke balai berkenaan adalah tok batin Sidin Bujang, ketua kumpulan tarian Mah Meri Maznah Unyan, guru ukiran kayu A Samri Abd Rahman dan pengukir kraf kayu Kemi Khamis. 

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh mengesahkan menerima laporan tersebut.

Pada 9 Oktober lalu, portal ini melaporkan aktivis Orang Asli yang juga artis kontemporari dikenali sebagai Shaq Temuan menyelar tindakan Anuar kerana dia dianggap melanggar sensitiviti kaum Mah Meri.

Shaq berkata, inspirasi koleksi Mah Meri x Anuar yang dipersembahkan di pentas peragaan di Pusat Pameran dan Perdagangan Malaysia (Mitec) pada 6 hingga 8 Oktober lalu juga dilabel sebagai penyelewengan budaya

Sebagai respons, Anuar dalam kenyataannya mendakwa, mereka sudah mendapatkan keizinan daripada pihak tertentu yang berasal daripada kaum Mah Meri sendiri namun enggan mendedahkan sebarang identiti. 

Pada masa sama, Anuar juga menafikan koleksi Mah Meri x Anuar Faizal itu sebagai penyelewengan budaya sebaliknya ia bertujuan menjana ekonomi mereka dengan menyuntik elemen komersial selain memartabat kaum Mah Meri yang semakin terpinggir. 

Diminta mengulas kenyataan itu, Azman berkata, pihaknya langsung tidak menyokong rekaan fesyen tersebut malah mereka mempersoalkan tujuannya.

“Kami tak sokong dan tak setuju langsung kalau dia cakap ia bertujuan jana ekonomi dengan menyuntik elemen komersial.

“Kami tak nampak ada kreativiti pun apabila memaparkan model yang tidak berbaju dan memegang topeng semata-mata.

“Kalau pakaian tradisi kulit kayu dan anyaman yang kemudian ditambah benda lain untuk dimodenkan, ia tak jadi masalah kerana ada saja rekaan sebegitu sebelum ini,” katanya.

Petisyen gesa pereka fesyen mohon maaf

Sementara itu, satu petisyen dalam talian talian yang digerakkan hari ini bertujuan menggesa beberapa pihak termasuk Anuar agar memohon maaf atas dakwaan isu penyalahgunaan budaya yang melibatkan topeng Mah Meri.

Petisyen yang digerakkan kumpulan Orang Asli antaranya menyebut pertunjukan fesyen CIMB Artober telah melangkaui sempadan, mendukacitakan dan memberi kesan kepada kumpulan minoriti.

Menurut petisyen itu, yang menjadi cukup bermasalah apabila topeng semangat Mah Meri itu kemudiannya digayakan ke atas model bukan dari masyarakat Mah Meri sendiri dalam keadaan tidak berbaju. 

“Kami ingin menyuarakan suara hati kami berkenaan penyalahgunaan budaya serta penggayaan tidak sesuai serta tak menghormati adat Mah Meri yang ditampilkan ketika acara fesyen tersebut.

“Sebagai pengamal seni dan budaya, kami komited untuk memupuk ekosistem seni dan budaya yang selamat serta terangkum dalam memastikan kerjasama sihat melibatkan perkongsian pengetahuan dan mendukung suara kumpulan terpinggir. 

“Kami percaya pada pentingnya perkongsian untuk berlaku dalam suasana penuh hormat melibatkan proses pendidikan yang peka budaya.

“Namun, bagi masyarakat Orang Asli secara amnya, tindakan ini dianggap sebagai salah ambil guna budaya dan penyalahgunaan objek kerohanian dan budaya, sekali gus menyempitkan kedudukannya hanya sekadar atas nama fesyen,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS