Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Saya bantu ekonomi Orang Asli, kata pereka fesyen
Diterbitkan:  Oct 12, 2023 1:50 PM
Dikemaskini: 6:59 AM

Menyedari inspirasi koleksi barunya, Mah Meri x Anuar Faizal mengundang kritikan, pereka fesyen Anuar Faizal menjelaskan ia bertujuan membantu ekonomi suku Orang Asli itu dengan sentuhan komersil.

Anuar berkata, dia mahu memartabatkan kaum Mah Meri yang semakin terpinggir dan kekurangan dengan mengambil inspirasi daripada budaya yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Justeru, dia berharap pertunjukkan fesyen itu dapat membuka mata tentang nilai seni budaya Mah Meri sekali gus membantu mereka untuk menjana pendapatan.

“Saya ingin membantu ekonomi mereka dengan mempamerkan produk buatan Orang Asli dengan sentuhan komersil di atas pertunjukkan fesyen yang besar supaya dikenali masyarakat kita dan dunia antarabangsa.

“Mungkin segelintir rasa sensitif apabila sesuatu budaya itu diberi suntikan fesyen. Mereka harus akui bahawa usaha seperti ini adalah penting untuk menjana ekonomi mereka dalam arus pemodenan,” katanya.

Jelasnya, pertunjukkan fesyen yang dihadiri ramai pempengaruh itu juga dapat membuka mata pelbagai pihak tentang kewujudan kaum pribumi tersebut selain dapat menyebar ilmu dan informasi.

Kata Anuar, sebagai penggiat seni, sangat penting untuk mengangkat kesedaran sivik masyarakat tempatan supaya budaya dan kraf Mah Meri dapat dikenal kembali dan tidak pupus ditelan zaman.

“Sebagai seniman kita harus membuat sesuatu yang boleh mengangkat harkat dan martabat saudara kita sendiri di samping memberikan pengetahuan tentang seni dan budaya.

“Lebih-lebih yang luar biasa dan jarang dilihat serta diketahui masyarakat moden. Budaya yang semakin pupus itu diberi nafas baru tanpa melanggar sebarang pantang larang. 

“Orang Asli sulit untuk mendapatkan akses ke peradaban yang lebih maju bahkan mereka juga kurang menikmati teknologi yang ada saat ini,” katanya.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan aktivis Orang Asli Shaq Temuan mengecam koleksi Anuar kerana mengetengahkan rekaan separa bogel. 

Shaq mendakwa Anuar memperlekeh budaya serta tidak menghormati kesucian suku Mah Meri. 

Bercakap tentang pertunjukan fesyen sempena CIMB Artober itu, pereka sensasi itu berkata, penganjur termasuk pereka yang terlibat mempunyai misi dan objektif jangka panjang untuk memastikan perpaduan kaum, kelestarian seni dan budaya mampu berdaya saing dan terpelihara. 

“Idea koleksi telah lama dibuat oleh saya dan Mah Meri sejak 2021. Kami berkolaborasi mencipta adi busana berasaskan mengkuang untuk sebuah acara gabungan tiga badan korporat CIMB, Cendana dan Yayasan Hasanah. 

“Rekaan itu juga turut dipamerkan di pentas antarabangsa di Vietnam. Ini adalah minggu fesyen kami yang keempat dan kami yang keenam. 

“Insya-Allah, minggu fesyen raya bakal menjelma kurang dari tiga bulan sahaja. Bertarikh 29 Februari sehingga 3 Mac 2024,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS