Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sophia Albarakbah: Kenapa suami orang yang tak jaga kelakuan?

Susulan dituduh ‘penyondol’ kerana mengacau suami orang, pelakon Sophia Albarakbah berpendapat mungkin ada pihak yang sudah tersilap menghakiminya selama ini.

Katanya, tidak wajar kesalahan itu diletakkan di bahunya semata-mata tanpa mereka menyelidik situasi sebenar terlebih dulu.

“Kenapa pelakon lelaki berstatus suami orang kena berjaga-jaga sebab saya? Kenapa mereka yang tak behave (berkelakuan baik) dulu?

“Saya tak memulakan apa-apa, jadi kenapa saya yang harus dipersalahkan? Saya juga tak ‘sondol’ sesiapa OK. Buka kamus dan fahami dulu maksud sondol itu apa,” ujarnya.

Menurut Sophia, 30, perkara yang timbul amat menyakitkan hati hingga menyebabkan dia berasa tertekan dan hal itu mengganggu emosinya.

Kata pelakon Obsesi Dia itu, ramai orang suka bercakap buruk mengenainya sedangkan mereka langsung tidak mengenali dirinya siapa.

“Jujur saya katakan memang saya sakit hati dan jadi tertekan kerana jadi sasaran dan tohmahan orang.

“Apa yang berlaku antara saya dengan Tuhan dan orang-orang yang rapat saja tahu. Mereka kenal saya orang yang macam mana.

“Orang luar yang bercakap buruk pasal saya, itu dosa mereka dan tak ada kena mengena dengan saya,” katanya.

Sophia berkata demikian pada majlis pelancaran filem terbaru lakonannya berjudul Harimau Malaya: The Untold Journey di sebuah hotel di Petaling Jaya semalam.

Sebelum ini, nama aktres itu menjadi perhatian selepas dituduh menjadi orang ketiga dalam rumah tangga penyanyi dan pelakon Aliff Aziz.

Perkara itu mulai didedahkan oleh isteri Aliff, Bella Astillah yang mendakwa seorang pelakon perempuan mengakui mempunyai perasaan terhadap suaminya.

Ia dikesan selepas mereka bergandingan bersama dalam sebuah drama.

Sophia berkata, dia juga pernah terfikir untuk menamatkan kariernya sebagai pelakon kerana kontroversi tersebut.

“Tapi saya batalkan niat itu kerana sebagai anak seni, saya sedar memang tak boleh lari daripada kontroversi.

“Jadi, saya anggap ia satu perkara yang memantangkan.

“Saya juga semakin kuat untuk berdepan sebarang kontroversi,” katanya yang enggan digandingkan dengan pelakon berstatus suami orang lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS