Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Michael Ang seru Finas selamatkan Pagari Bulan
Diterbitkan:  Oct 10, 2023 2:07 PM
Dikemaskini: 6:07 AM

Pengarah dan pelakon Michael Ang menyeru Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk melakukan sesuatu bagi menyelamatkan Pagari Bulan selepas tayangan filem itu didakwa dikurangkan dan dibatalkan di beberapa buah pawagam.

Kata Michael, dia hairan bagaimana situasi sedemikian boleh timbul sedangkan filem yang mendapat arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad itu mendapat respons positif dalam kalangan mereka yang sudah menonton.

“Saya berlakon dalam filem Pagari Bulan cuma tak banyak kerana sebagai cameo. Banyak juga orang yang komen filem itu bagus.

“Pengkritik pun kata bagus dan berikan rating tinggi termasuk mereka yang kononnya tak suka filem Melayu juga berikan komen bagus.

“Segelintir yang lain pula kata sinematografi, cara pengarahan bagus malah ada unsur-unsur sejarah. Tapi masalahnya kenapa tak ada sambutan di panggung? Adakah sebab promosi tak cukup kuat?

“Finas buat apa? Suka-suka panggung boleh batal tayangan semua itu, kata ada 14 hari wajib tayang? Tolonglah buat sesuatu,” katanya dalam sebuah klip video dikongsikan di media sosial.

Sebagai tanda sokongan kepada penerbit filem itu, iaitu Sharifah Shahora, yang juga merupakan rakannya, Michael, 47, turut mengajak peminat filem tempatan untuk membeli tiket Pagari Bulan.

“Kepada anda semua, pergilah sokong dan tonton filem ini. Kasihanlah Shahora. Susah payah dia dan suami terbitkan filem ini,” katanya.

Sementara itu, Shahora dalam posting berbeza di media sosial turut meluahkan kekesalannya berhubung tindakan beberapa pawagam mengehadkan jumlah tontonan ke atas filem berkenaan.

Katanya, hal itu didapati berlaku pada hujung minggu sedangkan pada ketika itulah ramai peminat filem akan keluar ke panggung.

“Apabila hari Ahad dah mula orang nak tengok filem ini, kau kurangkan panggung pula. Pada hujung minggulah orang keluar pergi tengok wayang.

“Pada laman sesawang ada, tapi apabila datang kaunter tak ada tayangan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS