Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aktivis Orang Asli selar rekaan fesyen 'eksploitasi' Mah Meri

Aktivis Orang Asli, Shaq Koyok menyelar tindakan pereka fesyen Anuar Zainal kerana melanggar adat resam Mah Meri susulan terdapat modelnya tidak berbaju sewaktu memperagakan koleksi yang diinspirasi daripada suku kaum itu dalam sebuah acara semalam.

Kata Shaq yang juga artis kontemporari itu, Anuar tidak menghormati Mah Meri malah mengeksploitasi nama suku kaum berkenaan sebagai nama koleksi pakaiannya.

“Adat Mah Meri itu suci dan ia perlu dihormati. Sebaliknya, pereka fesyen berkenaan menggunakan simbol dan bahan melambangkan kesucian Mah Meri dengan memperagakan model separa berbogel. Ini tak senonoh.

“Itu sudah melanggar adat resam Orang Asli. Kami sendiri amat menghormati bahan-bahan dan kepercayaan agama kami.

“Apa yang dibuat oleh pereka fesyen itu adalah salah dan ia dianggap penyelewengan budaya,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Shaq, 28, Anuar wajar peka terhadap hal-hal berkaitan budaya dan masyarakat lain sekiranya pereka fesyen itu berniat untuk memartabatkan mana-mana suku kaum dalam rekaannya.

Malah katanya, pereka fesyen itu perlu menanam sifat yang boleh membawa perkara positif kepada umum dalam menghasilkan ciptaanya.

“Apa yang dibuat tak memberi kebaikan,” katanya.

Semalam berlangsungnya acara peragaan koleksi Mah Meri by Anuar Faizal dan Keretapi Sarong 23 by Locco yang bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Malaysia (MITEC).

Pada acara sempena minggu fesyen Oktober itu, sekumpulan model memperagakan koleksi Mah Meri namun ada di antaranya dilihat tidak berbaju dan mengenakan hiasan kepala seperti Orang Hutan atau Mah Meri.

Sementara itu, Anuar dalam kenyataan berkata, dia bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menghasilkan koleksinya.

“Saya sudah mengkaji tenunan tersebut selama tiga tahun serta bekerja rapat dengan beberapa pihak termasuk suku kaum Mah Meri dan ketua puak mereka sebelum menghasilkan koleksi berkenaan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS