Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Walaupun tak nak ambil tahu, Beto tetap sedih rakan-rakan terjejas

Pelakon Beto Kusyairy mengakui berasa sedih apabila ada rakan-rakannya terjejas ekoran nama digugurkan tanpa sebab daripada meneruskan projek prekuel filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan baru-baru ini.

Meskipun sudah tidak mahu ambil tahu perihal isu berlegar, Beto tetap berharap syarikat penerbit Studio Kembara akan bersikap telus dalam menyuarakan kebenaran kepada pihak yang terbabit dengan pembikinan Pendekar Awang itu.

“Saya sedih dengan kejadian menimpa pengarah dan naskhah itu sendiri. Dari sudut adil, ia tak adil sebab di sini kawan dan juga sahabat, sudah tentu saya terasa.

“Saya sudah move on dan hanya mampu mendoakan yang terbaik. Saya pun tak nak tambah minyak panaskan keadaan.

“Jadi, saya harapkan hal-hal sebegini dapat dinyatakan secara telus, beritahu mengapa mereka disingkirkan supaya yang ditamatkan kontrak itu dapat menerima alasan diberikan,” katanya.

Beto, 43, yang pernah terbabit dalam Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berkata, kegagalan berbuat demikian boleh menimbulkan persepsi negatif kepada pihak penerbit itu sendiri.

Justeru, Studio Kembara wajar berbuat sesuatu bagi menangkis sebarang imej buruk yang mungkin sudah wujud.

“Apabila tak ada sebab dikemukakan, ia nampak tak bagus pada pihak mereka (penerbit),” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman siri Super Wira di sebuah kompleks beli-belah di Bukit Jalil kelmarin.

Sebelum ini, pengarah Areel Abu Bakar memberitahu namanya digugurkan daripada penggambaran Pendekar Awang walaupun filem itu didakwa sudah disiapkan sebanyak 90 peratus.

Penerbit Urusan Studio Kembara, Shahruddin Mt Dali dilaporkan menjelaskan penamatan kontrak Areel dilakukan atas sebab tertentu dan ia dibuat bukan atas masalah peribadi.

Dia yang enggan mengulas perkara itu secara terperinci menegaskan keputusan itu sudah dipersetujui Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali.

Shahruddin yang juga penulis skrip bagi prekuel berkenaan berkata, pembabitan Areel dalam naskhah itu bukanlah sudah 90 peratus seperti yang diperkatakan.

Habiskan penggambaran

Pada masa sama, Beto berkata, dia ada berpesan kepada pelakon yang terbabit dalam Pendekar Awang, iaitu Nadhir Nasar supaya menghabiskan komitmen dalam penggambaran filem berkenaan.

Katanya, Nadhir tidak wajar membiarkan fokusnya terganggu disebabkan isu yang timbul.

“Selain Areel dan kru produksi, saya juga ada bertemu Nadhir. Saya pesan kepadanya agar menghabiskan penggambaran.

“Jangan biarkan rekod buruk jika tak siapkan kerja. Selagi tak dibuang, seseorang pelakon harus selesaikan tugas hingga habis,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS