Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Radja tak serik insiden ugut bunuh tapi tetap berhati-hati

Kumpulan rock Indonesia Radja mengakui tidak serik untuk kembali beraksi di Malaysia walaupun sebelum ini mereka pernah diugut bunuh.

Pun begitu, vokalis, Ian Kasela berkata Radja kini mengambil pendekatan untuk lebih berwaspada terutama apabila membabitkan mana-mana kontrak dan penganjur.

“Rasa trauma itu datang tanpa diduga, jadi disaat Fadzli (penganjur) menghubungi pihak pengurusan bercakap mengenai konsert yang bakal diadakan ini kami perlu fikir positif.

“Namun selepas insiden tersebut, kami menghindari orang tengah agar komunikasi lebih mengikut prosedur yang sepatutnya,” katanya.

Meskipun detik hitam itu meninggalkan kesan trauma, Ian berkata, mereka sanggup melupakan kejadian itu kerana sudah menganggap Malaysia sebagai “rumah kedua.”

Malah menurut Ian, perancangan konsert yang dijadual berlangsung 12 November depan jauh lebih penting berbanding perasaan takut menerima ugutan daripada penganjur terdahulu.

“Kami juga anggap Malaysia ini seperti rumah kedua kami, jadi kenapa perlu meninggalkan rumah sendiri hanya kerana masalah dalaman penganjur itu sendiri.

“Jadi, mana mungkin kami takut untuk kembali ke sini lagi.

“Pihak pengurusan juga berjanji untuk mempertingkatkan tahap keselamatan terutama pada sesi beramah mesra bersama peminat nanti,” katanya.

Ian berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman Konsert Radja Live In Concert Jujur Takkan Melupakanmu di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.

Selain Ian, Radja turut dianggotai oleh pemain gitar Moldy Kusnadi dan Seno Wibowo (dram).

Konsert yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 12 November depan dibawakan oleh Orange International Entertainment.

Sebelum ini, Radja menerima ancaman bunuh daripada dua individu yang dipercayai wakil pihak penganjur selepas selesai mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru pada 12 Mac lalu.

Difahamkan, situasi cemas itu berlaku susulan salah faham antara pihak penganjur dan kumpulan yang popular dengan lagu Benci Bilang Cinta berkenaan.

Pihak polis Johor juga segera melengkapkan siasatan berhubung dakwaan kes kumpulan itu dan susulan itu dua suspek warga tempatan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS).

Mengulas soal konsert, Ian berkata, mereka tidak perlu mengambil terlalu lama untuk bersetuju dengan tawaran diberikan.

Menurutnya, mereka juga pada masa sama terbuka dengan sebarang perancangan lain pada masa depan.

“Insiden seperti itu tak diduga ia juga di luar kawalan kami sendiri. Radja juga manusia biasa.

“Kami dapati peminat juga meninggalkan luahan mereka sudah tak sabar untuk konsert tersebut di ruang komen pada media sosial Radja.

“Kami juga sudah memaafkan dan move on,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS