Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hafidz Roshdi akui jalani rawatan bipolar sejak 3 tahun lalu
Diterbitkan:  Oct 4, 2023 4:26 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Pelakon Hafidz Roshdi memberitahu dia berdepan masalah kesihatan mental sejak tiga tahun lalu malah mendapatkan rawatan berkala di Hospital Shah Alam.

Katanya, selepas didiagnosis, rujukan hospital mendapati dia berdepan masalah bipolar atau perubahan emosi melampau.

“Saya perlu dapatkan rawatan dan preskripsi ubat, selain perlu periksa kestabilan hormon setiap masa.

“Keadaan kesihatan mental saya okey, alhamdulillah stabil. Aktiviti seni masih berlangsung seperti biasa.

Ada tawaran yang masuk tapi kebanyakannya masa tidak mengizinkan," katanya dipetik Harian Metro.

Namun menurut Hafidz, 28, dia tidak berdepan sebarang sekatan dan tiada masalah menerima tawaran sekiranya ada tawaran berlakon pada masa ini.

Sementara itu, mengenai harapannya dalam kes dakwaan memukul dan mencederakan bekas isteri, Nurul Shuhada, Hadiz berkata dia hanya menyerahkannya kepada Tuhan.

“Saya serahkan semuanya kepada yang Esa dan semoga keputusannya yang baik-baik saja,” katanya.

Hafidz turut berkata dia bersyukur anak-anaknya yang kini dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah...saya baru jumpa mereka bulan lalu. Insya-Allah saya akan jumpa mereka lagi bulan ini atau bulan depan,” katanya.

Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS